:: Makluman Media ::


MULTAQA SEDUNIA ALUMNI AL-AZHAR
14 – 18 FEBRUARI, 2008
PUSAT KONVENYSEN KUALA LUMPUR



1. PENGENALAN

Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar yang berprestij itu akan diadakan buat pertama kalinya di Kuala Lumpur, Malaysia selama empat hari dari 14 hingga 18 Februari, 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ini adalah merupakan kali pertama satu konvensyen sebegini besar diadakan di luar Mesir, dan Malaysia telah diberikan penghormatan untuk menjadi venue pilihan. Pemilihan ini dibuat berdasarkan kepada pandangan dan kestabilan politik negara selain ekonomi dan pengurusannya dan oleh kerana ia menjadi sebuah negara ‘contoh’ yang sangat progresif kepada negara Islam membangun yang lain. Di atas sebab itu, Malaysia dipilih.

Dalam pada itu, ‘Multaqa’ atau persidangan ini akan menjadi tuan rumah yang cukup berbangga kerana menghimpunkan ramai cendekiawan Al-Azhar dari seluruh pelusuk dunia. Banyak negara Eropah, dari benua Amerika, Timur Tengah, Afrika, Asia, Asia Tengah selain Rusia akan menghantar wakil mereka sendiri untuk mengambil bahagian di dalam persidangan yang berprestij ini.

Persidangan itu, yang bertemakan "Islam Hadhari: Antara Warisan dan Cabaran Semasa" akan dihadiri oleh Menteri-menteri dari negara-negara Islam yang merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar.

Antara tokoh-tokoh yang dijemput adalah Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam Mesir Dr Mahmood Hamdy Zaqzuq, Menteri Pendidikan Tinggi Oman Mubarak bin Abdullah Al-Rashidi dan Menteri Haji dan Hal Ehwal Islam Afghanistan Niâ'amtullah Shahrani.

Pemimpin lain termasuk Menteri Hal Ehwal Islam Somalia Umar Mahmood Muhammad Fins, Menteri Hal Ehwal Islam Bangladesh Moshame Hossain Shoh Jihan, Menteri Hal Ehwal Islam Guinea Pissau Abdul Karim Jibutai, dan bekas Menteri Petroleum Arab Saudi Sheikh Ahmad Zaki Yamani akan juga menghadiri persidangan itu.

‘Multaqa’ ini akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada hari Jumaat, 15 Februari 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 4 petang.

Difahamkan bahawa Sheikhul Al-Azhar, Dr. Muhammed Sayyid Tantawi akan memberi ucapan pada acara yang berprestij ini.

Seramai 1,028 orang peserta dari 69 buah negara dijangka menghadiri persidangan itu yang antara lain, bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dan perangkaian di antara bekas graduan Al-Azhar dari seluruh pelusuk dunia.

Ia juga diharapkan bahawa dengan perhimpunan para cendekiawan Islam dan pemimpin Islam yang terbilang itu, satu kedudukan selain pandangan dan persepsi yang seragam dapat dicapai berhubung isu-isu semasa yang membabitkan orang Islam.

Ini termasuk pembangunan Ummah Islam, peradaban, warisan Islam dan pemodenan.

Ia juga diharapkan agar persidangan itu dapat menghasilkan pemahaman yang lebih baik dan mendalam mengenai sumbangan warisan Islam kepada peradaban manusia sejagat.

Persidangan itu akan juga membincangkan kesan pengaruh kuasa barat terhadap warisan Islam dan tanggungjawab Al-Azhar di dalam menghadapi perubahan dan cabaran baru.

Sebanyak 17 kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan itu yang mencakupi pelbagai topik dan perbincangan, termasuk kriteria bagi warisan Islam, sumbangan warisan Islam di dalam pembangunan peradaban manusia, warisan dan perubahan, warisan dan cabaran barat dan peranan Al-Azhar dalam menghadapi perubahan.

Antara penceramah adalah Prof Dr Abu Lubabah Al-Tahir dari Emiriah Arab Bersatu yang akan membentangkan satu kertas kerja mengenai "Warisan Islam dalam Menghadapi cabaran-cabaran semasa”, Dr Omar Kamel dari Arab Saudi mengenai Keunikan Warisan Islam: perbincangan intelektual antara Warisan dan Kontemporari dan Prof Dr Kamal Imam dari Mesir mengenai Warisan Islam: Antara Pemodenan dan Kemusnahan.

Bersempena dengan persidangan itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran kepada Sheikh Al-Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi pada 16 Februari, 2008 di Dewan Pleno, KLCC pada pukul 9 pagi.


2. AKREDITASI

Akreditasi diperlukan bagi wartawan/jurugambar/penyiar yang menghadiri Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008. Sila memohon bagi mendapatkan borang permohonan akreditasi bagi membuat liputan mesyuarat daripada Perhubungan Awam & Pengurusan Acara BERNAMA di alamat e-mel: mediasec@bernama.com. Anda boleh juga memuat turun borang akreditasi daripada laman web BERNAMA di http://www.bernama.com

 Setiap organisasi media diminta untuk melantik seorang wakil bagi menyelaraskan urusan akreditasi dan penginapan bagi anggota kumpulan mereka. Sila buat salinan borang jika lebih banyak borang diperlukan.

Akreditasi diberikan kepada wakil-wakil organisasi media yang diiktiraf yang ditugaskan untuk membuat liputan persidangan itu. Wakil media harus menyediakan sepucuk surat tugasan yang disahkan oleh agensi masing-masing bersama-sama dengan permohonan mereka.

Media asing diminta mengembalikan borang akreditasi mereka dengan gambar bersaiz pasport kepada Sekretariat Media Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 di alamat yang tertera di bawah.

Semua anggota media yang mengiringi Ketua Negara atau Ketua Delegasi harus melengkapkan borang permohonan bagi tujuan akreditasi, dengan melampirkan satu surat rasmi daripada Kerajaan berkenaan, dengan menyenaraikan nama wakil-wakil media beserta gelaran fungsi dan nama media mereka.

Borang dan surat akreditasi itu harus dialamatkan kepada Sekretariat Media Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 di alamat berikut:


SEKRETARIAT MEDIA

Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008
Perhubungan Media & Pengurusan Acara BERNAMA
Tingkat 5, Wisma BERNAMA
28 Jalan 1/65A, Off Jalan Tun Razak
50700 Kuala Lumpur

Tel : 603 – 2694 1024 / 2696 2150
Faks : 603 – 2694 1021 / 2694 1022
E-mel : mediasec@bernama.com

 Tarikh tutup permohonan adalah pada 7 Februari 2008.

Pas akreditasi dan kit maklumat boleh diperolehi di Sekretariat Media apabila Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 itu semakin hampir. Pas akreditasi harus dipakai pada setiap masa semasa Persidangan itu.


3. KEMUDAHAN MEDIA

Pusat Media Antarabangsa (IMC)

Pusat Media Antarabangsa (IMC) untuk Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 terletak di Bilik 304 & 305 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

IMC akan menyediakan ruang bekerja yang selesa, kemudahan perhubungan dan perkhidmatan media lain yang berkaitan yang memenuhi keperluan semua wartawan, penyiar dan jurugambar yang bertauliah. IMC akan dibuka kepada media dari 14 hingga 18 Februari 2008. Waktu operasi adalah dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Akses internet juga disediakan pada semua komputer peribadi di Kawasan Bekerja Media (PWA).

Dokumen yang dihasilkan oleh Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 itu akan disediakan di IMC, termasuk siaran akhbar, ringkasan bagi kebanyakan sesi perbincangan, salinan ucapan, dokumen latar belakang dan laporan.

Salinan cetak bagi kesemua maklumat yang berkaitan dengan Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 akan dapat diperolehi di kaunter maklumat di PWA.

Permohonan untuk mengadakan temuramah perlu dibuat menerusi Meja Bantuan (Helpdesk) IMC dan kami akan berusaha untuk mendapatkan akses kepada tokoh-tokoh terkemuka menerusi persidangan media.


4. PENGINAPAN

Wakil-wakil media akan bertanggungjawab di dalam mengatur perjalanan dan tempahan hotel mereka sendiri. Anggota media perlu berurusan secara langsung dengan pengurusan hotel yang menjadi pilihan mereka untuk menentukan kesediaan bilik, kadar bilik dan prosedur pembayaran memandangkan kadar bilik dan prosedur itu berbeza dari hotel ke hotel.


5. MEDIA RASMI

5.1 Agensi Berita Rasmi

BERNAMA, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, telah dilantik oleh Yayasan Dakhwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk mengendalikan Pusat Media Antarabangsa (IMC) itu. BERNAMA akan juga menjadi agensi berita rasmi bagi Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008. Semua laporan BERNAMA boleh diperolehi dari stesen kerja/komputer peribadi di kawasan bekerja media (PWA). Media boleh juga mengakses dan memuat turun gambar dari Fotoweb BERNAMA.

5.2 Penyiar Rasmi

Penyiar Rasmi bagi Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 ialah Radio Television Malaysia (RTM).
RTM akan mengadakan kemudahan asas TV di kawasan bekerja RTM di IMC untuk memudahkan keperluan penyiaran.

Orang yang boleh dihubungi:

Munira Murad
Bahagian Pengurusan Am
Wisma TV, Angkasapuri
Radio Television Malaysia (RTM)


Tel: 012 – 248 3632

Bayaran: Tunai sahaja. Bayaran perlu dibuat sebelum kemudahan itu dapat digunakan.


6. FORMALITI KEMASUKAN

Para pelawat perlu mempunyai pasport kebangsaan atau dokumen perjalanan antarabangsa lain yang diiktiraf, disahkan untuk perjalanan ke Malaysia dan harus sah tempoh sekurang-kurangnya enam (6) bulan selepas tarikh kehadiran mereka di Malaysia. Harap maklum bahawa rakyat dari negara tertentu mungkin perlu mendapatkan visa yang sewajarnya untuk memasuki Malaysia. Ini boleh disahkan daripada Pejabat Kedutaan Malaysia yang berhampiran atau dengan melayari laman web http://www.kln.gov.my.

Semua pelancong bukan penduduk tetap perlu melengkapkan satu Borang Perisytiharan Pelancong bagi mengisytiharkan jumlah mata wang asing dan cek kembara yang dibawa mereka pada masa ketibaan dan ketika berlepas pulang.


7. KEPERLUAN KEBENARAN KASTAM

Wakil media yang membawa bersama peralatan ke Malaysia perlu melengkapkan Borang Pengimportan Kastam dengan inventori terperinci termasuk model dan nombor siri kelengkapan berkaitan.


8. PERUBATAN

Pemantauan vektor dijalankan di semua pelabuhan dan lapangan terbang untuk memastikan Malaysia bebas daripada nyamuk Aedes Aegypti. Oleh itu, pelancong tanpa sijil pemvaksinan Demam Kuning yang sah, yang diluluskan oleh WHO dan diberikan oleh Pusat Pemvaksinan Demam Kuning yang diluluskan, akan dikuarantin setibanya di Malaysia. Wakil-wakil Media, di mana tempat perlepasan mereka ke Malaysia adalah dari negara-negara Amerika Latin atau Afrika, harus mempunyai Sijil Pemvaksinan Demam Kuning yang sah.

Hospital-hospital yang berkaitan di Kuala Lumpur telah dimaklumkan untuk menyediakan perkhidmatan pesakit luar dan pesakit dalam. Ambulans akan disediakan, di mana perlu, untuk membawa mereka yang sakit ke hospital. Terdapat doktor dan paramedik untuk memberikan perkhidmatan kecemasan segera kepada para perwakilan, peserta dan wakil media yang menghadiri Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008. Wakil-wakil media boleh menggunakan pusat perubatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Bagaimanapun, mereka bertanggungjawab sepenuhnya bagi semua perkhidmatan yang berada di luar ruang lingkup klinik termasuk:

- rujukan kepada pakar-pakar perubatan
- ujian diagnostik
- bekalan perubatan
- perkhidmatan pergigian


9. MAKLUMAT

Permohonan untuk mendapatkan borang akreditasi dan maklumat tambahan mengenai perkhidmatan dan kemudahan media perlu dialamatkan kepada: :

Sekretariat Media Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008:

Maklumat am:

Cik Aniceta Ferns
Tel : 603 – 2694 1024/2696 2121
Faks : 603 – 2694 1021 / 22 / 23

E-mel : aniceta@bernama.com


Akreditasi:

Zaria Mohd Nasri / Zabedah Yacob
Tel : 603 – 2696 2123 / 2696 2126
Faks : 603 – 2694 1021 / 22 / 23

E-mel : mediasec@bernama.com


10. LAMAN WEB

Laman web Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
http://www.yadim.com.my
 
Laman web Persidangan Sedunia Alumni Al-Azhar 2008
http://www.alumnialazhar.org

Laman web BERNAMA
http://www.bernama.com