Negara Asia Pasifik Ambil Langkah Tepat Wujudkan Geopark
|
Anggota jawatankuasa Rangkaian Geopark Global dari Ireland Dr Patrick McGeever ditemubual Bernama pada Persidangan Serantau Mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi. Foto: Anuar Isman |
LANGKAWI, 15 Nov (Bernama) -- Negara Asia Pasifik bertindak tepat apabila mewujudkan rangkaian geopark masing-masing yang setanding dengan taman seumpamanya di Eropah.
Kebanyakan anggota perwakilan yang menghadiri Persidangan Serantau mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan 2007 kali pertama di sini memberi pendapat tentang peri pentingnya negara di rantau ini mewujudkan geopark masing-masing berdasarkan model yang tepat.
"Dalam masa beberapa tahun akan datang, dengan wujudnya geopark di Vietnam, Korea dan Australia...kita akan ada rangkaian yang kukuh di sini, mungkin sama seperti di Eropah," kata anggota jawatankuasa Rangkaian Geopark Global dari Ireland Dr Patrick McGeever kepada Bernama di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.
Eropah mewujudkan Rangkaian Geopark Eropah (EGN) pada tahun 2000, yang kini mempunyai 32 anggota.
McGeever, yang sebelum itu membentangkan kertas kerja bertajuk "Geopark Sebagai Alat Dalam Kegiatan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Secara Holistik", berkata beliau yakin negara di rantau Asia Pasifik seperti India, Jepun dan Vietnam akan mewujudkan lebih geopark pada masa akan datang.
Kata McGeever, beliau yakin dengan meningkatnya kesedaran tentang warisan geologikal dan penggunaan model yang tepat dalam penubuhan geopark, negara Asia Pasifik akan mempunyai rangkaian yang lebih kukuh, terutama dalam aspek pemuliharaan.
Beliau berkata dengan wujudnya lebih banyak geopark di rantau ini, masyarakat setempat akan mendapat manfaat daripada sumber geologi yang digunakan secara lestari.
Pengarah Urusan Asian Overland Travel, Anthony Wong dari Malaysia pula berkata semua agensi perlu bekerjasama dalam mewujudkan geopark bagi melahirkan kegiatan eko pelancongan.
"Kita perlu tolong-menolong. Bukan orang pelancongan saja, tetapi juga perancang dari pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa alam sekitar," katanya selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Pembangunan Produk: Peluang Perniagaan bagi Pelancongan Tempatan dan Antarabangsa" pada persidangan itu.
Wong, yang terlibat dengan bidang pelancongan sejak 34 tahun lepas, berkata kelebihan utama Malaysia ialah 70 peratus daripada negara ini masih diliputi hutan, termasuk hutan hujan yang dilindungi.
"Kami ada banyak tarikan semula jadi. Tapi, jika kami ingin jadikan sesuatu tempat itu sebagai kawasan pelancongan, kami perlu merancangnya dengan teliti serta mengurus dan menjaganya dengan baik. Perancangnya perlu bekerjasama dengan pengusaha industri ini," kata beliau.
Persidangan tiga hari itu, yang dianjurkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan Unesco, berakhir hari ini.
-- BERNAMA
|