Abdullah Harap Langkawi Geopark Menjadi Tanda Aras Antarabangsa
|
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi |
LANGKAWI, 15 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap Langkawi Geopark akan menjadi tanda aras antarabangsa yang memaparkan usaha terbaik dalam pemuliharaan, sosio-ekonomi dan infrastruktur.
Beliau berkata usaha ini membabitkan kerjasama semua pihak daripada semua kerajaan negeri dan persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan mereka yang berkenaan.
Dalam perutusan beliau pada penerbitan khas "Langkawi Sights dan Sounds Malaysia" yang diterbitkan sempena Persidangan Geopark Asia Pasifik dan Perniagaan pertama di sini hari ini, katanya kemajuan adalah penting tetapi janganlah ia menjejaskan alam sekitar, sumber asli dan warisan.
Langkawi ialah geopark ke-52 dunia dan yang pertama di Asia Tenggara dalam senarai Unesco pada 1 Jun tahun ini. Langkawi geopark mengandungi 99 buah pulau.
"Kita dalam generasi sekarang adalah penjaga kepada legasi ini yang mesti dilindungi, dikekalkan dan diturunkan kepada generasi akan datang.
Dengan itu, usaha pemuliharaan mestilah selari dengan pembangunan bagi memastikan khazanah asli dipelihara iaitu tugas suci yang diamanahkan kepada kita oleh Allah," kata Abdullah.
"Potensi banyak yang ditawarkan oleh geopark sebagai tempat tarikan pelancong yang menarik meletakkan negara pada peta dunia sementara sebagai pemaju kepada industri perusahaan serta membolehkan masyarakat untuk maju," katanya.
Beliau percaya persidangan ini akan menjadi panduan dalam pembangunan dengan idea yang konstruktif akan diperoleh untuk manfaat negara dan masyarakat dunia.
Persidangan rantau tiga hari ini yang berakhir hari ini mengumpulkan kira-kira 240 geo-saintis dan pakar lain dari 15 negara untuk bertukar-tukar idea mengenai pengurusan dan pemuliharaan geopark.
Ia dianjurkan bersama oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan Unesco yang bertemakan "Rantaian Antara Geopark Nasional".
-- BERNAMA
|