Malaysia Akan Ketuai Rantaian Geopark Asia Pasifik
|
Ahli Jawatankuasa Jaringan Global Geopark Unesco Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo) ditemuramah media di akhir Persidangan Serantau Mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi. Turut kelihatan Pengurus Besar Lembaga Perbadanan Langkawi Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani. Foto: Anuar Isman |
LANGKAWI, 15 Nov (Bernama) -- Langkawi Geopark telah diundi oleh 20 negara untuk mengetuai Rantaian Geopark Asia Pasifik pada Persidangan Rantau mengenai Geopark Asia Pasifik dan Perniagaan pertama yang berakhir di sini hari ini.
Anggota Biro Kumpulan Pakar Unesco dan Global Geopark Network (GGN) Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata Langkawi Geopark mempamerkan komponen geologikal yang baik dengan sistem pengurusan yang harmoni dan sokongan ahli akademik dan penyelidik yang kukuh.
Ini merupakan satu kejayaan yang cemerlang kerana mendapat komitmen daripada 20 negara peserta itu untuk mewujudkan Rantaian Geopark Asia Pasifik, katanya kepada Bernama pada penutup persidangan itu.
"Komitmen daripada negara peserta adalah penting kerana dengan rantaian ini kita boleh membangunkan sistem kita sendiri yang membolehkan pembangunan Geopark di seluruh rantau ini dengan lebih cepat," kata Prof Ibrahim.
Beliau berkata rantaian itu dibahagikan kepada dua pertubuhan berlainan, pertubuhan penasihat, di mana semua negara Asia Pasifik boleh menyertainya dan rangkaian itu sendiri khasnya untuk negara yang memang sudah ada geopark.
Pertubuhan penasihat bertanggungjawab dalam mempromosi, menyediakan sistem sokongan, menggalak dan memajukan pembangunan geopark serta membincangkan masa dan tempat persidangan geopark akan diadakan.
Buat sementara waktu, hanya tiga negara menganggotai rantaian itu iaitu, Malaysia, China dan Iran. Bagaimanapun Prof Ibrahim yakin bahawa bilangan keanggotaan akan bertambah.
Beliau juga memberitahu bahawa Langkawi Geopark akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Funiushan Geopark China yang terletak di wilayah Heinan pada akhir bulan ini.
-- BERNAMA
|