Oriental Village Langkawi Dinaik Taraf Sejajar Dengan Status GGN
|
INDAH... Pengunjung menikmati panorama kepulauan Langkawi dari puncak Gunung Mat Cincang dengan menaiki kereka kabel. Foto: Anuar Isman |
Oleh Mohd Azril Mohd Annuar
LANGKAWI, 14 Nov (Bernama) -- Usaha sedang giat dilakukan bagi menaik taraf Oriental Village di sini dengan mengadakan kemudahan tambahan dan membuat penambahbaikan terhadap perkhidmatan sedia ada bagi menjadikannya setara dengan kedudukan Langkawi sebagai sebahagian daripada Rangkaian Geopark Global (GGN).
Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani memberitahu Bernama bahawa antara tarikan utama tambahan yang diwujudkan di pulau ini ialah Zon Fesyen Antarabangsa Langkawi.
"Pelancaran tidak rasmi Zon Fesyen ini akan diadakan sebelum bermulanya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) bulan depan dan Insya Allah, kami akan melancarkannya semasa LIMA diadakan. Peruncit pertama kami adalah dari Itali.
"Kami juga telah menambah jumlah kedai yang menjual barang kemas, cenderahati dan barangan lain, serta menambah baik kemudahan asas seperti tandas, pejabat jualan tiket serta pejabat utama bagi menjadikan Oriental Village lebih menarik kepada pelawat daripada segi aestetika," katanya.
Beliau berkata Lada juga sedang berunding dengan pihak berkenaan untuk mewujudkan tapak perkhemahan di kawasan perkampungan berkenaan, berhampiran sebatang sungai, bagi membolehkan pelancong menikmati keindahan alam semula jadi di sekelilingnya.
Katanya keselamatan menjadi tumpuan utama LADA dan pengendali kereta kabel Langkawi serta jambatan gantung melengkung yang menghubungkan dua tempat di banjaran Gunung Mat Cincang.
"Kami telah tutup denai pendakian ke puncak paling tinggi di Gunung Mat Cincang untuk sementara waktu kerana kejadian tanah runtuh di sana.
"Sekiranya ada masalah besar berkaitan kereta kabel atau jambatan gantung, kami akan hentikan semua operasi. Mungkin kami rugi daripada segi perniagaan, tapi keselamatan perlu diutamakan," kata pengurus besar Langkawi Cable Car Sarjankan Md. Shariff.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada program penambahbaikan berterusan dan penyenggaraan yang dirancangkan, Langkawi Cable Car akan mula mengecat semula semua jerjak jambatan gantung sepanjang 125 meter itu yang sudah berkarat pada Januari depan.
"Kami telah berbincang dengan juruperunding serta pakar kami dan mereka memaklumkan kepada kami bahawa karat itu hanya tidak sedap dipandang. Ia tidak membahayakan orang ramai.
"Bagi menjamin keselamatan pengunjung, pegawai keselamatan kami sentiasa berada di sana bagi mengawasi orang ramai dan kami juga melakukan kerja penyenggaraan secara harian, mingguan dan bulanan serta menutup semua operasi selam dua hari setiap bulan.
"Jambatan itu berkarat kerana kelembapan yang wujud di puncak banjaran gunung berkenaan yang berpunca daripada kabus, hujan dan kelembapan di jambatan itu, yang tergantung pada ketinggian lebih 600 meter dari paras laut," katanya.
Beliau berkata satu lagi perkara yang menjejaskan keseronokan pengguna kereta kabel berkenaan dan menjejaskan keselamatan pengunjung ke puncak Gunung Mat Cincang ialah perbuatan merosakkan harta benda awam oleh pengunjung yang ingin meninggalkan kesan kehadiran mereka di sana.
Katanya Langkawi Cable Car menangani masalah ini dengan menugaskan kakitangan keselamatan dan mengecat semula bahagian yang dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
-- BERNAMA
|