Langkawi Geopark Bakal Jana Ekonomi Setempat
|
Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani |
LANGKAWI, 14 Nov (Bernama) -- Penyenaraian Langkawi Geopark dalam senarai geopark dunia memberi peluang kepada mereka yang terbabit dalam sektor pelancongan di pulau itu untuk mengembangkan lagi perniagaan dan perkhidmatan masing-masing, sekaligus menjana ekonomi di pulau lagenda itu.
Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani berkata Langkawi Geopark yang disasar menjadi jenama baru bertaraf dunia bukan saja mampu menarik pelancong yang cinta kepada keindahan alam sekitar tetapi juga para saintis, ahli geologi, pelajar dan para pengkaji pelbagai bidang di seluruh dunia.
Katanya jumlah pelancong ke Langkawi dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang dan ia sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang berkaitan pelancongan di pulau berkenaan.
"Langkawi Geopark mengetengahkan beberapa produk dan geotrail baru dan ia secara langsung mewujudkan tambahan pekerjaan baru terutamanya bagi pemandu pelancong," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Serantau Mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan pertama di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.
Langkawi Geopark bukan saja dapat mencipta pasaran baru tetapi juga memperluaskan peluang ekonomi masyarakat setempat, katanya.
Pada 1 Jun lepas, Unesco mengisytiharkan Langkawi Geopark sebagai geopark dunia ke-52 dan pertama di Asia Tenggara.
Ia mengandungi 99 pulau dan merupakan pulau geopark pertama yang berstatus pulau bebas cukai.
Sementara itu, Penolong Profesor Pelancongan Sekolah Pengurusan Hotel dan Pelancongan di Hong Kong Polytechnic University Dr Thomas G. Bauer berkata komuniti tempatan kemungkinan mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung dari geotourism.
Katanya geotourism akan mewujudkan banyak produk pelancongan dan geoytails, sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan baru bagi komuniti tempatan seperti pemandu pelancong, agensi pelancongan, pengendali botm pemandu teksi dan premis menjual makanan.
"Program homestay atau pelancongan "orchard" adalah antara perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh penduduk kampung kepada para pelancong yang berminat mengalami dan mempelajari mengenai cara hidup kampung," katanya.
-- BERNAMA
|