LADA Sasar Pelancong Ke Langkawi Meningkat Dua Kali Ganda Dlm Lima
|
INDAH SAUJANA MEMANDANG… Kilim Geoforest Park adalah antara tiga georimba yang terdapat di Langkawi Geopark yang kaya yang dengan biodiversiti flora dan fauna. Foto: Anuar Isman |
Oleh Mahanum Abdul Aziz
LANGKAWI, 14 Nov (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang kini giat melaksanakan projek pembangunan infrastruktur Langkawi Geopark menyasarkan jumlah pelancong ke Pulau Langkawi meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang, daripada kira-kira dua juta pelancong setahun ketika ini.
Pengurus Besarnya Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani berkata penjanamaan semula pulau lagenda itu sebagai Langkawi Geopark dan pengiktirafan Langkawi Geopark dalam senarai geopark dunia oleh Unesco tahun ini, dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong ke pulau berkenaan.
Kira-kira 1.6 juta pelancong telah mengunjungi pulau itu dalam tempoh antara Januari hingga September tahun ini dan beliau menjangkakan jumlah itu meningkat kepada 2.3 juta orang sehingga akhir tahun ini, iaitu jumlah tahunan tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.
"Kita telah menyasarkan jumlah pelancong akan meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun. Kita berharap dengan adanya projek pembangunan infrastuktur di beberapa lokasi yang dikenal pasti dan pengenalan beberapa produk baru Langkawi Geopark, akan menarik lebih ramai pelancong pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Serantau Mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan pertama di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.
Langkawi merupakan tapak geopark ke-52 dunia dan pertama di Asia Tenggara selepas disenaraikan dalam senarai geopark dunia di bawah Unesco pada 1 Jun lepas. Langkawi Geopark mengandungi 99 buah pulau dan ia juga merupakan pulau geopark pertama yang berstatus pulau bebas cukai.
Kamarulzaman berkata konsep Langkawi Geopark bukan sahaja berkaitan dengan batu-batu tetapi ia termasuk penglibatan dan kegiatan masyarakat di dalamnya.
Langkawi Geopark kaya yang dengan biodiversiti flora dan fauna, pelbagai jenis batu dan formasi batu (geologi) serta mempunyai pemandangan laut dan pantai yang cantik, katanya mempunyai tiga taman georimba iaitu Machincang Geoforest Park, Geoforest Park Kilim dan Geoforest Park Dayang Bunting.
"Kini, dengan pengiktirafan Langkawi Geopark dalam senarai geopark dunia, dapat mencipta pasaran baru dalam sektor pelancongan negara kerana ia bukan saja menarik pelancong yang cinta kepada keindahan alam sekitar tetapi juga para saintis, ahli geologi dan pelajar seluruh dunia," katanya.
Mengenai produk baru Langkawi Geopark, Kamarulzaman berkata Pulau Tuba telah dikenal pasti sebagai produk baru Langkawi Geopark dan pihaknya kini sedang menjalankan projek pembangunan infrastuktur di pulau itu bagi memudahkan pelancong mengunjungi pulau berkenaan.
Antara projek yang sedang dijalankan di pulau itu ialah pembinaan laluan dan pelantar tinjau Gua Wang Buluh, jalan pinggir laut dan jambatan motosikal Tuba-Selat Bagan Nyior, katanya.
Beliau berkata LADA juga sedang melaksanakan projek pembangunan infrastruktur lain seperti membina laluan dan pelantar tinjau di kawasan landskap karst Kilim, laluan pinggir tasik dan pelantar tinjau Tasik Dayang Bunting dan laluan hutan ke Tasik Langgun.
"LADA telah mendapat dana khas lebih RM16 juta dari Kementerian Kewangan tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur Langkawi Geopark," katanya.
LADA yang ditubuhkan dengan rasminya pada 15 Mac 1990 oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 (Akta 423) dan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan, bertujuan merancang dan menggalakkan serta melaksanakan pembangunan di Pulau Langkawi.
-- BERNAMA
|