Gunung Kinabalu Geopark Berpotensi Sumbang Aktiviti Sosio Ekonomi Sabah
LANGKAWI, 13 Nov (Bernama) -- Cita-cita Gunung Kinabalu untuk menyertai Rangkaian Geopark Global Unesco akan memberi kesan sosio ekonomi positif terhadap masyarakat setempat yang tinggal berhampiran di kawasan gunung berkenaan, kata seorang pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Prof Madya Sekolah Sains dan Teknologi UMS Prof Dr Felix Tongkul berkata dengan konsep geopark, komuniti berhampiran bakal menikmati faedah pelancongan dan geo-pelancongan kerana mereka akan diajar mengenai apa yang membentuk sebuah geopark dan mereka boleh mengaut faedah ekonomi dengan menyertai aktiviti ekonomi seperti membuka gerai atau kedai barang-barang aneh yang mahal nilainya.
"Pada masa ini, masyarakat yang berdekatan (Gunung Kinabalu) hanya sekadar menjadi pemerhati kehadiran dan kepulangan para pelancong dan mereka tidak menyumbang apa-apa melainkan hanya sebagai tenaga manusia memandangkan agensi pelancongan yang membawa para pelawat ke Taman Gunung Kinabalu berpangkalan di Kota Kinabalu," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata konsep taman dan taman negara kini sedang dikaji semula kerana bidang kuasa itu adalah di bawah kerajaan dan tidak berkaitan dengan masyrakat.
"Daripada sebuah taman negara, geopark akan mengubah aliran ini. Lihat perkara ini daripada satu perspektif baru. Ia seharusnya dimiliki oleh rakyat dengan kerajaan di kawasan berkenaan membantu mereka. Masyarakat ini yang sepatutnya mengaut faedah. Ini merupakan satu idea yang baik," katanya.
Sebahagian daripada proses untuk menyertai Rangkaian Geopark Global menghendaki pengenalpastian warisan geologi dan pemetaan geologi Gunung Kinabalu di luar taman kerana kawasan geopark boleh menjadi amat luas dan ini meliputi penyertaan komuniti untuk menjayakannya.
Antara aspek unik Gunung Kinabalu adalah daripada segi geo-pelancongan dan sebagai sebuah geopark, adalah pergunungan itu merupakan batuan beku yang termuda di rantau ini yang mempunyai banyak ciri-ciri glasier dan batuan lautan yang berusia yang terdapat di pergunungan itu.
-- BERNAMA
|