About | Back to Bernama.com  
 

Malaysia Pilihan Utama Ketuai Rangkaian Geopark Asia Pasifik

Datuk Dr Ibrahim Komoo ditemubual Bernama selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Serantau Mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan di Langkawi. Foto: Anuar Isman

Oleh Jumiati Rosly

LANGKAWI, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia merupakan pilihan utama untuk mengetuai rangkaian geopark Asia Pasifik yang bakal diwujudkan semasa Persidangan Serantau Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan 2007 yang julung kali diadakan di sini selama tiga mulai hari ini.

Walaupun Malaysia hanya mempunyai satu geopark iaitu Langkawi Geopark, tetapi ia mempunyai asas yang kukuh dalam bidang geologi serta mempunyai kumpulan pakar dan pengkaji, kata anggota jawatankuasa Biro Rangkaian Geopark Global Unesco, Datuk Dr Ibrahim Komoo.

"Berkaitan pengetahuan, kita lebih maju berbanding China walaupun mereka mempunyai 18 geopark.

"Ini antara sebab mengapa Unesco mahu mengadakan persidangan julung kali di sini," katanya kepada kepada Bernama selepas membentangkan ucapan dasar pada persidangan itu di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini.

Satu lagi anggota geopark Asia Pasifik ialah Iran.

Dr Ibrahim yang juga Timbalan Baib Canselor (Kajian dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata satu lagi langkah yang boleh diambil ialah mewujudkan penubuhan Warisan Geo Asia Pasifik dan Rangkaian Geopark kerana Rangkaian Geopark Asia Pasifik hanya mempunyai tiga negara anggota.

"Kita perlu ingat bahawa kini di Asia Pasifik hanya terdapat tiga negara yang mempunyai kawasan yang diiktiraf sebagai geopark oleh Unesco.

"Oleh yang demikian selain mengadakan rangkaian dengan negara geopark, Asia Pasifik boleh memiliki rangkaian dengan negara yang berminat dengan pembangunan geopark.

"Kita boleh bertukar pengetahuan dengan negara yang mahu mendapatkan status geopark bagi kawasan spesifik mereka," katanya.

Beliau berkata negara Asia Pasifik mempunyai tahap kesedaran dan pemahaman yang berbeza berhubung warisan geo dan pembangunan geopark.

Beliau berkata dalam mewujudkan Warisan Geo Asia Pasifik dan Rangkaian Geopark, rangkaian berkenaan perlu mempunyai arah strategik dalam membentuk indentiti kebangsaan bagi pembangunan warisan geo, memperkenal pendekatan yang inovatif dan fleksibel bagi pemeliharaan dan pembangunan geopark di kalangan negara anggota.

Sebagai anggota biro Rangkaian Geopark Global Unesco, Ibrahim bersama lima lagi rakan dari Eropah dan seorang dari China akan duduk bersama setahun sekali untuk menerima dan menilai penubuhan geopark baru di seluruh dunia.

Seramai 240 pakar geosains dari 15 negara menyertai persidangan tiga hari tersebut untuk bertukar-tukar pendapat mengenai pengurusan dan pemeliharaan geopark.

Ia yang bertemakan Rangkaian Antara Geopark Kebangsaan dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan UKM dengan sokongan Unesco.

-- BERNAMA

Back to News List | Back to top

 

MAIN MENU

s
s
s
s
s
   
   
   
 
 
 
 
 

 
 
 
Langkawi Geopark © 2007 BERNAMA. All Rights Reserved. Privacy policy | Terms of use
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.