About | Back to Bernama.com  
 

Langkawi Geopark Berjaya Tingkat Kehadiran Pelancong

JINAK... Pelatih Haiwan dari Langkawi Wildlife Park Mohd Zamri Mohd Ramli menghulurkan burung Helang Laut kepada salah seorang pengunjung tapak pameran sempena Persidangan Serantau Mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi. Foto: Anuar Isman

LANGKAWI, 13 Nov (Bernama) -- Penjenamaan semula Langkawi sebagai Langkawi Geopark tahun ini berjaya meningkatkan kemasukan pelancong tempatan mahupun luar negara ke pulau lagenda itu.

Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani berkata 1.6 juta pelancong mengunjungi pulau itu dalam tempoh antara Jan dan Sept tahun ini, berbanding 1.4 juta pelancong bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau seterusnya menjangka jumlah kemasukan pelancong ke pulau Langkawi bagi tahun ini akan merekodkan jumlah tertinggi, menjangkau sehingga 2.3 juta orang.

"Sebelum ini Langkawi hanya dikenali sebagai sebuah pulau sahaja. Oleh itu kita perlukan satu nama yang berbeza untuk menampilkan pendekatan baru bagi memikat pelancong tempatan dan asing terhadap keindahan biodiversiti dan geologi Langkawi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Serantau Mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan pertama di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Katanya Langkawi yang mendapat pengiktirafan sebagai Langkawi Geopark pada 1 Jun tahun ini akan dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Pelancaran yang diadakan malam ini adalah bagi memperkenalkan Langkawi sebagai salah satu daripada 53 geopark yang ada di dunia ini kepada delegasi antarabangsa," katanya.

Langkawi Geopark yang mengandungi 99 pulau adalah geopark pertama bagi Malaysia serta Asia Tenggara, dan ia juga merupakan pulau geopark pertama yang berstatus pulau bebas cukai.

Kamarulzaman berkata konsep Langkawi Geopark bukan sahaja berkaitan dengan batu-batu tetapi juga melibatkan budaya dan masyarakat, termasuk legenda dan sejarah serta pembangunan infrastruktur, dan menurutnya konsep geopark turut menekankan unsur pemuliharaan lestari alam sekitar bagi tujuan pelancongan.

Persidangan tiga hari anjuran Lada dan UKM yang bermula hari ini menyaksikan 240 peserta dari 15 negara yang terdiri daripada pakar geosains berhimpun untuk berbincang dan bertukar idea mengenai pengurusan geopark serta aspek pemuliharaan warisan geopark di Asia Pasifik.

Esok para delegasi akan dibawa menyaksikan sendiri keindahan Langkawi Geopark seperti Gunung Machinchang dan Tasik Dayang Bunting.

-- BERNAMA

Back to News List | Back to top

 

MAIN MENU

s
s
s
s
s
   
   
   
 
 
 
 
 

 
 
 
Langkawi Geopark © 2007 BERNAMA. All Rights Reserved. Privacy policy | Terms of use
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.