Jaringan Geopark Asia Pasifik Bakal Ditubuhkan
|
"Diharap pada akhir persidangan ini nanti, APGN akan menjadi kenyataan yang akan turut bernaung di bawah Jaringan Geopark Global Unesco," kata Prof . Dr Mohd Shafeea Leman. Foto: Anuar Isman |
Oleh Jumiati Rosly
LANGKAWI, 12 Nov (Bernama) -- Jaringan Geopark Asia Pasifik (APGN) akan ditubuhkan pada Persidangan Serantau Mengenai Geopark Asia Pasifik dan Dialog Perniagaan pertama bagi mengumpul negara di rantau Asia Pasifik yang berminat dalam memulihara geopark di negara masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran persidangan itu Prof Dr Mohd Shafeea Leman berkata jaringan itu penting bagi memberikan lebih 'suara' kepada rantau Asia Pasifik untuk membincangkan masa depan geopark di negara masing-masing.
"Di Eropah mereka sudah lama ada European Geopark Network (EGN) yang membolehkan pakar geosains dari rantau itu untuk mengadakan lebih banyak perbincangan tetapi kita masih belum ada.
"Diharap pada akhir persidangan ini nanti, APGN akan menjadi kenyataan yang akan turut bernaung di bawah Jaringan Geopark Global Unesco," katanya kepada Bernama di sini Isnin.
Beliau yang merupakan Timbalan Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata ketika ini hanya tiga negara iaitu China, Iran dan Malaysia di Asia Pasifik yang telah diluluskan oleh Unesco sebagai Geopark.
Bagaimanapun katanya sehingga kini China mempunyai 18 kawasan yang diluluskan sebagai Geopark tetapi Iran dan Malaysia masing-masing hanya mempunyai satu kawasan Geopark.
Geopark Langkawi yang mengandungi 99 buah pulau merupakan geopark ke-52 dunia dan pertama di Asia Tenggara yang disenaraikan dalam senarai geopark dunia di bawah Unesco pada 1 Jun tahun lepas.
"Bukan mudah untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Unesco untuk mengisytiharkan kawasan itu sebagai geopark. Malah selepas mendapat pengiktirafan itu, pada setiap lima tahun, Unesco akan kembali untuk melihat kawasan tersebut sebelum 'lesen' baru dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata geopark merujuk kepada sesuatu kawasan tidak kira kecil atau besar yang mempunyai unsur-unsur seperti sejarah batu, formasi menarik pelbagai jenis batu, lanskap unik dan indah yang mampu menarik lebih ramai pelancong asing.
Mulai Selasa pakar geosains dari seluruh dunia akan berhimpun di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini selama tiga hari untuk membincangkan dan bertukar idea mengenai pengurusan geopark serta aspek pemuliharaan warisan geopark di Asia Pasifik.
Persidangan anjuran bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan UKM serta disokong oleh Unesco yang bertemakan Rangkaian Antara Geopark Kebangsaan disertai 240 peserta dari 15 negara dengan China menghantar delegasi terbesar sebanyak 30 orang.
-- BERNAMA
|