, 22 2009

03 November, 2009 19:05 PM

Kelantan Jamin Akan Selesai Masalah Sertai Liga Malaysia

KOTA BAHARU, 3 Nov (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberi jaminan akan segera menyelesaikan masalah dalamannya untuk tetap menyertai kempen Liga Malaysia musim depan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata persatuan itu telah memberi jaminan kepada badan induk sukan itu, Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk tetap menyertai Liga Malaysia dan akan menyelesaikan sebarang masalah seperti hutang tertunggak.

"Saya rasa perkara ini tidak menjadi masalah kepada Kelantan yang telah memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah hutang tertunggak umpamanya jika itu yang menyebabkan kami tidak dibenarkan bertanding.

"Untuk pengetahuan, Kelantan sudah membayar hutang tertunggak kepada mana-mana pihak yang membabitkan anggaran lebih RM1 juta sebelum ini secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas meraikan pemain Kelantan yang bakal beraksi di final Piala Malaysia pada satu majlis makan tengah hari di sini, Selasa.

Turut hadir pengurus pasukan Azman Ibrahim dan ketua jurulatih B. Sathianathan.

Pada Isnin, Naib Presiden FAM Datuk Che Mat Jusoh selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM di Stadium Nasional, Bukit Jalil memutuskan Kelantan dan Perak antara enam pasukan yang tidak layak bertanding dalam Liga Malaysia 2010 setelah didapati gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh FAM.

Che Mat berkata keenam-enam pasukan itu telah gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh FAM seperti melunaskan gaji pemain-pemain yang tertunggak dan hutang tertunggak dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sehingga tarikh akhir iaitu Sabtu lepas.

Sementara itu pada majlis yang sama hari ini semua pemain Kelantan itu menerima sebanyak RM66,000 sebagai bonus kerana layak ke final menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Annuar berkata ia sebagai janji kepada pemain yang telah sedaya upaya membawa Kelantan sehingga ke tahap ini.

Kelantan sebelum ini telah membayar lebih RM100,000 kepada pemain kerana layak ke suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia itu.

Katanya, Kelantan turut membawa 1,000 pemain pelapis muda dan bekas pemain Kelantan yang layak ke final 39 tahun lalu untuk menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil itu.

"Kelantan juga menyewa sebuah keretapi khas yang diberi nama "The Red Warriors Train" yang boleh membawa 1,000 penyokong Kelantan yang mereka hanya perlu membayar RM60 seorang untuk perjalanan pergi balik itu," katanya.

Keretapi itu akan bertolak dari Tumpat pada pukul 10.30 malam Jumaat ini dan bertolak pulang dari Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi Sabtu, selepas tamat perlawanan.

Menurutnya peminat Kelantan juga boleh menghantar khidmat pesanan ringkas kepada semua pemain Kelantan mulai Khamis sehingga Sabtu ini ke nombor 32728 sebagai pemberi semangat kepada pemain.

Selain itu Annuar turut meminta kerajaan negeri memberi cuti umum buat Kelantan pada Ahad ini bagi membolehkan lebih 50,000 peminatnya agar tidak tergesa-gesa untuk pulang selepas tamat perlawanan demi keselamatan mereka.

Pada Rabu kerajaan negeri akan mengumumkan "imbuhan istimewa" kepada setiap pemain Kelantan jika mereka menjuarai Piala Malaysia itu.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.