

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
03 November, 2009 17:54 PM
Pemain Kelantan Siap Sedia Julang Piala Malaysia
KOTA BAHARU, 3 Nov (Bernama) -- Selepas kecewa di tangan Perak 0-2 pada perlawanan akhir Piala Malaysia hampir 40 tahun lalu, Kelantan kini bertekad untuk tidak terus kempunan dan sudah bersiap sedia untuk menjulang piala berprestij itu Sabtu ini.
Walaupun pasukan yang ditentang mereka bukan calang-calang lawan, Kelantan yakin momentum kemenangan seakan sukar disekat berdasarkan semangat yang dibawa selepas menumpaskan Perlis dengan agregat kemenangan 5-1 di perlawanan separuh akhir, Sabtu lalu.
Bagi penyerang sensasi "The Red Warriors", Mohd Khalid Jamlus, kegagalan di perlawanan akhir Piala FA menentang Selangor sebelum ini bukan penghalang buat pemain mencatat sejarah baru di perlawanan akhir kali ini.
"Kami sudah bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal untuk menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
"Dengan doa peminat seluruh rakyat Kelantan, InsyaAllah kami akan membawa pulang Piala Malaysia ke Kelantan," katanya kepada pemberita selepas menerima bonus daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di sini, pada Selasa.
Semua pemain Kelantan itu menerima RM66,000 sebagai bonus kerana layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia itu.
Mohd Khalid sebelum ini adalah bekas pemain Perak dan Selangor yang juga pemain kebangsaan.
Katanya semua pemain telah menyatakan keazaman untuk bermain sebaik mungkin tanpa mencetuskan insiden buruk.
"Kalah menang adalah adat permainan tetapi biarlah permainan itu berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan kami sangat berharap penyokong Kelantan juga dapat menyaksikan perlawanan secara profesional," katanya.
Beliau juga meminta pemain tidak terbawa-bawa dengan emosi yang dicetuskan penyokong seperti yang berlaku sebelum ini.
"Biarlah kami pulang membawa kenangan manis menjuarai Piala Malaysia tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

