, 22 2009

02 November, 2009 23:02 PM

Jawatankuasa Pusat MCA Bermesyuarat Esok

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Pusat MCA akan bermesyuarat esok dengan spekulasi semakin memuncak sama ada pemilihan baru parti akan diadakan bagi menyelesaikan masalah kepimpinan parti.

Terdapat tiga kemungkinan hasil mesyuarat iaitu peletakan jawatan semua anggota jawatankuasa bagi memberikan laluan pemilihan baru parti diadakan segera, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membolehkan anggota perwakilan memutuskan sama ada mengadakan pemilihan baru parti atau berpegang kepada pelan perpaduan lebih unggul, yang butirannya akan dibentangkan Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.

Cakap-cakap politik beberapa hari lepas menyatakan bahawa beberapa bekas pemimpin termasuk bekas presiden Tan Koon Swan dan bekas timbalan presiden Tan Sri Lim Ah Lek berada di belakang tabir untuk membantu menyelesaikan isu itu.

Wong Nai Chee, seorang daripada 16 anggota Jawatankuasa Pusat yang mahukan EGM diadakan, berkata mereka menolak pelan perpaduan yang dikemukakan kerana ia sepatutnya dikemukakan sebelum EGM parti pada 10 Okt lepas.

"Daripada apa yang saya lihat, ia lebih kepada pelan pengagihan. Anda tidak sepatutnya mempunyai pelan damai selepas EGM. I tidak masuk akal langsung. Ia tidak mempunyai kredibiliti kerana ia tidak mematuhi keputusan EGM 10 Okt lepas," katanya.

Wong berkata kesemua 16 anggota Jawatankuasa Pusat akan mendesak kepada peletakan jawatan beramai-ramai jawatankuasa itu bagi membolehkan pemilihan baru diadakan segera.

Jika gagal, mereka akan mendesak bagi EGM diadakan, katanya.

Keputusan EGM pada 10 Okt lepas antara lain meluluskan undi tidak percaya terhadap Ong dan mengembalikan semula keanggotaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai anggota parti tetapi tidak memberikan jawatan timbalan presiden kepada Dr Chua ekoran skandal video seksnya.

Seorang lagi anggota Jawatankuasa Pusat, Datuk Ti Lian Ker mahukan pelan perpaduan itu dilaksanakan kerana ia merupakan penyelesaian yang terbaik bagi menyelesaikan krisis seperti yang dinasihati dan direstui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mereka yang menentang Presiden, terutamanya anggota jawatankuasa yang dilantik sepatutnya meletak jawatan. Semua orang kini bercakap tentang pelan perpaduan, mengapakah kita hendak menentangnya?, soalnya.

"Jika anda mahukan perpaduan, anda mesti turut menyertakan para penyokong Dr Chua untuk menjadikannya inklusif," katanya.

Loh Seng Kok, seorang anggota jawatankuasa pusat pula selesa dengan mana-mana pilihan yang dikemukakan.

"Kedua-duanya tiada masalah bagi kami. Kami menyokong pelan perpaduan itu tetapi jika majoriti anggota memutuskan supaya diadakan pemilihan baru parti, saya tidak melihat ada sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, spekulasi menyebut bahawa Dr Chua, yang juga bekas menteri kesihatan, mungkin dilantik sebagai setiausaha agung parti di dalam pelan perpaduan yang dicadangkan itu.

Cakap-cakap menyatakan bahawa Dr Chua akan menggantikan Wong, yang kini merupakan Speaker Dewan Negara manakala Liow kekal sebagai Timbalan Presiden dan beberapa pemimpin lain diberikan jawatan parti.

Pemimpin berkenaan bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi memberikan ulasan mengenai hal itu.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.