23 Ogos, 2008 13:32 PM

Malaysia Pungut Pingat Ketiga Kejohanan Wushu Beijing 2008

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 23 Ogos (Bernama) -- Peserta wanita Chai Fong Ying menambah pingat perak dalam pungutan pingat ketiga bagi Malaysia dalam kejohanan wushu Beijing 2008 hari ini.

Beliau menewaskan Ai Miyoka dari Jepun dengan pungutan mata empat perseratus untuk menduduki tempat kedua di belakang Cui Wenjuan dari China dalam acara taijiquan dan gabungan taijijian di gimnasium Pusat Sukan Olimpik.

Fong Ying mencatat 9.70 dalam taijijian pagi ini untuk menambah pungutan mata menjadi 19.34 selepas memperolehi 9.64 dalam acara taijiquan semalam sementara peserta China yang mendapat pingat emas mendahului dengan 19.69 mata.

Untuk pertandingan di sini, taijiquan, satu pergerakan seni mempertahankan diri yang perlahan dan lembut digabungkan dengan taijijian yang mengandungi taijiquan dan permainan pedang sebagai satu acara.

Malam tadi, Malaysia mendapat dua gangsa melalui Pui Fook Chein dan Diana Bong.

Kejohanan wushu yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan sempena dengan Sukan Olimpik. Pingat itu tidak dikira dalam senarai pingat Olimpik.

Sepuluh pingat emas menjadi rebutan dalam kejohanan itu yang dibahagikan kepada kepada disiplin lantai yang dipanggil "taolu" dan pertempuran kombat yang dikenali sebagai "sanshou". Setakat ini, China telah memenangi lima pingat emas.

Tujuh peserta Malaysia di sini adalah Ang Eng Chong (changquan lelaki), Lee Yang (taijiquan lelaki dan gabungan taijijian), Lim Yew Fai (jianshu lelaki dan gabungan qiangshu), Pui Fook Chien (nanquan lelaki dan gabungan nangun), Diana Bong (nanquan wanita dan gabungan nandao), Chai Fong Wei (daoshu wanita dan gabungan gunshu) dan Chai Fong Ying (taijiquan wanita dan gabungan taijijuan).

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.