23 Ogos, 2008 13:23 PM

Elizabeth Jimie Atlet Wanita Pertama Negara Jadi Pembawa Bendera Di Olimpik

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 23 Ogos (Bernama) -- Penerjun negara Elizabeth Jimie akan menjadi pembawa Jalur Gemilang dalam upacara penutupan Sukan Olimpik esok sebagai lambang barisan atlet Malaysia ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Juara remaja dunia 2006 dan pemenang dua pingat gangsa Sukan Asia berumur 16 tahun dari Sarawak itu merupakan atlet wanita pertama negara diberikan penghormatan menjadi pembawa bendera negara pada Olimpik.

"Elizabeth mewakili elemen atlet remaja dalam pasukan Malaysia dan ini juga sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan wanita dalam sukan Malaysia, khususnya seperti Rajamani, Saik Oik Cum dan Zaiton Othman," kata chef-de-mission Malaysia Datuk Ho Koh Chye.

"2008 sudah berakhir, mari kita lihat kepada 2012, dan atlet seperti Elizabeth dan Pandelela Rinong, yang kini berusia 15 tahun, akan meneruskannya di London," katanya.

Elizabeth yang julung kali menyertai Olimpik berkongsi tempat ke-21 dengan rakan sepasukan Leong Mun Yee dalam acara 3m papan anjal.

Masa depan turut menjadi tema apabila Azizulhasni Awang, 20, dipilih menjadi pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan.

Sebanyak 37 atlet dan pegawai dari sukan berbasikal, memanah, menembak, terjun, renang dan taekwondo yang tinggal untuk mewakili negara dalam upacara perbarisan pada majlis penutupan temasya itu.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.