

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
22 Ogos, 2008 15:14 PM
Latihan Fizikal Yang Berat Menanti Chong Wei, Kata Misbun
Oleh Zulhilmi Supaat
KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Bakal "Datuk", Lee Chong Wei, tidak akan menerima layanan VIP di gelanggang badminton, sebaliknya bakal berdepan latihan fizikal keras mulai Isnin ini dalam misi mempertahankan kejuaraan Siri Super Terbuka Jepun yang akan berlangsung bulan depan.
Jurulatihnya Misbun Sidek berkata Chong Wei akan menjalani latihan fizikal berganda bagi menyeimbangi kekuatan fizikal Lin Dan dari China yang menewaskannya di perlawanan akhir perseorangan lelaki Olimpik di Beijing.
Pada pengamatannya, Chong Wei, yang akan bergelar Datuk pada Sabtu depan, tewas kepada Lin Dan kerana kekuatan fizikal Lin Dan.
"Di luar, dia bergelar Datuk tetapi dalam gelanggang, saya jurulatihnya. Daripada analisis awal, saya mendapati kekuatan Lin Dan pada perlawanan akhir amat ketara daripada segi fizikalnya," katanya kepada Bernama hari ini.
Berdasarkan faktor tersebut, Misbun berkata Chong Wei perlu menggandakan latihan fizikalnya agar setara dengan Lin Dan kerana daripada segi teknik permainan, keupayaan kedua-dua pemain tersebut adalah seimbang.
Siri Super Terbuka Jepun akan berlangsung dari 16 hingga 21 Sept.
Pada kejohanan itu tahun lepas, Chong Wei muncul juara selepas menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia dalam perlawanan akhir sengit dengan keputusan 22-20,19-21,21-19.
Dalam kejohanan itu juga, Chong Wei berjaya menewaskan Lin Dan 21-19, 21-15 pada peringkat separuh akhir.
Misbun berkata dalam tempoh dua bulan selepas Terbuka Indonesia pada hujung Jun lepas yang merupakan Siri Super terakhir sebelum temasya Olimpik, fizikal Lin Dan mengalami perubahan drastik seperti watak `wira gagah'.
"Otot di lengan Lin Dan nampak semakin kental. Chong Wei juga mengadu, kekuatan smash lawannya itu terasa amat kuat dan padu dan Lin Dan seperti tidak tahu erti penat," katanya.
Beliau berkata pada mulanya timbul rasa curiga bila melihat kekuatan fizikal Lin Dan sama ada pemain nombor satu dunia itu mengambil bahan-bahan terlarang untuk menguatkan kekuatan fizikalnya.
"Ketika ujian doping ke atas Lin Dan selepas perlawanan dengan Chong Wei, seramai empat doktor dari China berada di sampingnya, mungkin untuk memastikan pemain mereka bersih daripada bahan terlarang.
"Tetapi kemudian saya mendapati punca kekuatan Lin Dan kerana corak latihan fizikal keras yang dilaluinya sepanjang tempoh dua bulan sebelum Olimpik," katanya.
Latihan keras tersebut, katanya membolehkan Lin Dan melakukan pukulan smash padu serta ketahanan fizikal yang tinggi.
"Jika Chong Wei mahu bersaing dengan lawannya itu, pemain itu perlu menjalani latihan fizikal yang lebih keras," kata Misbun.
Pada perlawanan akhir perseorangan lelaki di Bejing Ahad lepas, Lin Dan merangkul emas selepas menewaskan Chong Wei 21-12, 21-8.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

