22 Ogos, 2008 13:07 PM

Atlet Terakhir Harapan Malaysia Untuk Raih Pingat Bersedia Untuk Aksi Agresif

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 22 Ogos (Bernama) -- Atlet terakhir harapan Malaysia untuk meraih pingat, Che Chew Chan daripada acara taekwondo, bersedia untuk beraksi secara agresif dalam perjuangannya di Sukan Olimpik esok, yang bermula dengan bertemu seteru lamanya, Evgeniya Karimova dari Uzbekistan, dalam pusingan pembukaan kelas lebih 67kg.

Che mengalahkan wakil Uzbekistan itu 8-5 bagi mendahului pusingan kelayakan Asia pada Disember lepas.

"Saya akan menggunakan strategi sama ke atasnya. Dia akan merasai tekanan. Saya berasa bagus sekali," kata atlet berusia 25 tahun itu mengenai perlawanan berkenaan, yang dijadual berlangsung pagi esok di gimnasium Pusat Sukan Olimpik.

"Saya tidak mahu terlalu relaks sangat. Dalam kategori yang berat ini, kebanyakan lawan akan bertindak defensif tetapi saya mahu lebih bertenaga dan agresif," katanya.

Kedua-dua peserta itu bersaing dalam Kejohanan Asia di China tahun ini dalam kategori berat yang berlainan.

Che berada di tempat kedua dalam kelas middleweight dari 67 hingga 72kg manakala Karimova pula di tempat kelima dalam kategori heavyweight lebih 72kg.

Jika menang, wakil Malaysia itu, yang ketika ini di kedudukan kedua middleweight Asia, akan mara ke suku akhir menentang sama ada Nina Solheim dari Norway atau Noha Abd Rabo dari Mesir. Daripada segi ketinggian dan berat, Che dengan ketinggian 1.8m, lebih unggul berbanding mereka.

Solheim pada masa ini adalah juara middleweight di rangking ketiga Eropah. Noha berada di tempat ke-17 dalam kelas middleweight di Kejohanan Dunia tahun lepas.

Sekiranya Che tersungkur dalam pusingan pembukaan atau suku akhir, dia perlu menunggu dengan penuh debaran untuk melihat sama ada pemenang ke atasnya berjaya melangkah ke pusingan akhir. Ini akan memberikan tempat kepadanya dalam repechage untuk bertarung bagi pingat gangsa.

Dua pingat gangsa dipertaruhkan. Peserta yang kalah daripada semua peringkat akan berada dalam repechage.

Ketika taekwondo merupakan sukan pertunjukan dalam Olimpik, M. Vasugi dan Hii King Hung pulang dengan pingat gangsa masing-masing dari Olimpik Seoul 1988 dan Barcelona 1992.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.