19 Ogos, 2008 11:35 AM

Kevin Lim Berundur Selepas Kemunculan Kali Keempat Di Sukan Olimpik

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 19 Ogos (Bernama) -- Kevin Lim, atlet sukan pelayaran laser Malaysia memutuskan untuk berundur selepas empat kali menyertai Sukan Olimpik, untuk memberi tumpuan kepada kariernya di bidang perubatan.

Selepas mewakili negara selama 18 tahun, beliau akan menamatkannya di tempat sama di mana beliau bermula, di China.

Beliau mewakili negara buat pertama kali dalam Sukan Asia pada 1990 dengan menduduki tempat ke empat di Qinghuandao, dan semalam beliau menamatkan cabaran Olimpiknya dengan menduduki tempat ke-38 di Qingdao.

"Masanya sudah tiba untuk saya beri tumpuan kepada karier, saya sudah berumur 32 tahun, ramai rakan-rakan sebaya saya yang sudah menjadi pakar (perubatan)," kata Lim yang menamatkan pengajian di bidang perubatan pada tahun 2003.

Beliau kini bertugas ke Hospital Prince of Wales di Sydney, dan berharap akan menjadi pakar bedar ortopedik.

Lim mengambil bahagian dalam lima kejohanan Sukan Asia, dan membawa pulang pingat perak pada Sukan Asia 1998 di Bangkok serta 2002 di Busan.

Bagaimanapun penampilan terakhirnya di Sukan Olimpik Beijing kali ini menyaksikan beliau gagal membaiki kedudukan di tempat ke-22 yang dudukinya pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney sebelum ini.

"Saya tidak dapat belayar dengan baik pada kejohanan ini, hanya menduduki tempat ke-38. Selain membuat permulaan yang kurang menonjol, saya juga nampak tersasar dengan keadaan angin yang tidak menentu, dan amat sukar bagi saya mengekalkan laluan saya sepanjang pertandingan," katanya.

Lim berkata walaupun tinggal di Australia, beliau masih boleh membantu Malaysia dalam memberi tunjuk ajar kepada pelayar-pelayar muda negara dan menguruskan pertandingan di luar negara buat mereka, berdasarkan kepada hubungannya dengan ramai kenalan dalam bidang sukan itu di Australia dan Eropah.

"Masih ada banyak penajaan bagi sukan pelayaran laser ketika ini, tapi apa yang penting ialah untuk memastikan para pelayar memiliki saiz fizikal yang tepat, kerana tubuh pelayar yang kecil akan menyukarkannya untuk beraksi dengan baik di pentas antarabangsa," katanya.

Lim mula membabitkan diri dalam sukan pelayaran semasa beliau berumur 10 tahun tapi pada satu ketika enggan meneruskannya kerana ia terlalu "perlahan dan membosankan".

Beliau kembali belayar pada usia 12 tahun dan dua tahun kemudian beliau sudah terbabit dalam Sukan Asia yang pertama.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.