18 Ogos, 2008 16:37 PM

Konsisten Kunci Untuk Bryan Mara

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 18 Ogos (Bernama) -- Konsisten ialah kunci untuk penerjun negara Bryan Nickson Lomas menggapai impiannya untuk mara ke separuh akhir acara 10m platform Sukan Olimpik kali ini selepas hampir berjaya melakukannya di Athens empat tahun lepas.

"Tahap kesukaran rutin saya masih sama, jadi saya perlu lebih konsisten," kata Bryan yang acaranya akan berlangsung pada Jumaat.

Hanya setinggi 1.54m dan seberat 47kg, penerjun berumur 18 tahun dari Sarawak itu telah mencatatkan beberapa rekod untuk layak buat kali kedua ke Olimpik.

Empat tahun lepas, Bryan menjadi tumpuan sebagai atlet paling muda di Athens, beliau menamatkan saingan di tempat ke-19 dan gagal ke separuh akhir dengan perbezaan satu kedudukan. Pada 2005, beliau menjadi atlet pertama Malaysia layak ke peringkat akhir dalam sejarah kejohanan dunia di Montreal.

Tahun lepas, Bryan menduduki ranking ketujuh Kejohanan Terjun Dunia dan mencatat pencapaian yang sama dalam kejohanan akuatik dunia FINA tahun ini, kedua-duanya diadakan di Melbourne. Di Asia Tenggara, beliau tidak dapat ditandingi dalam Sukan SEA.

Disebalik semua itu, atlet pemalu dari Sekolah Menengah Stutong itu enggan menggembar-gemburkan peluangnya di sini.

"Selepas telah mengambil bahagian dalam satu sukan Olimpik, saya kini lebih berpengalaman dan lebih yakin. Saya meletakkan peluang saya sebagai amat berharap berjaya mara ke separuh akhir," kata penerjun itu yang diberikan nama oleh bapanya sempena nama bekas pemain bola sepak Manchester United, Bryan Robson.

Sebanyak 30 penerjun telah menyertai saingan. Mereka termasuk Lin Yue dari Chin yang sudah meraih satu pingat emas daripada acara 10m terjun segerak dan Gleb Galperin dari Russia yang sudah memperoleh pingat gangsa, juga daripada acara terjun segerak.

"Adik" dalam kontinjen Malaysia, Pandelela Rinong, mengaku gugup apabila pertama kali beraksi dalam temasya ini dua hari lepas, pada Rabu.

"Saya gementar dan agak takut semasa latihan di Water Cube bersama-sama penerjun dari negara lain. Tetapi saya berada di sini untuk mendapatkan pengalaman dan saya tidak mahu membuatkan diri saya tertekan," kata pelajar berumur 15 tahun dari Sekolah Menengah Stampin, juga dari Sarawak.

Dua lagi penerjun Malaysia, Leong Mun Yee dan Elizabeth Jimie gagal mara ke separuh akhir selepas berkongsi tempat ke-21 dalam acara 3m papan anjal.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.