Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
18 Ogos, 2008 15:35 PM
Mampukah Badminton Janjikan Emas Lagi Pada Olimpik 2012?
Oleh Zulhilmi Supaat
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Selepas 13 Olimpik, Malaysia terlepas peluang terbaiknya untuk meraih emas pertamanya apabila Lee Chong Wei kalah dalam perlawanan akhir di Beijing malam tadi.
Pemain perseorangan utama negara itu tewas mudah 12-21, 8-21 kepada pemain utama dunia, Lin Dan dari China, sekaligus melenyapkan harapan negara untuk menyaksikan seorang anak Malaysia membawa pulang sebutir emas dari temasya sukan terbesar dunia itu.
Seluruh rakyat Malaysia pastinya hampa menyaksikan Chong Wei seolah-olah menyerah mudah kepada lawannya itu tetapi hakikatnya ialah Lin Dan cukup hebat malam tadi dan memang sukar ditundukkan.
Satu ketika semasa bertukar gelanggang, Chong Wei menoleh kepada Misbun Sidek sambil menggeleng-geleng kepalanya seolah-olah memberitahu jurulatihnya itu bahawa dia tidak tahu apa lagi yang harus dilakukannya untuk melawan Lin Dan.
Layak ke Beijing dengan status pemain nombor dua dunia di belakang Lin Dan, Chong Wei yang mendapat bye di pusingan pertama kemudian menumpaskan Ronald Susilo dari Singapura 21-13, 21-14.
Pada pusingan ketiga, dia menewaskan Kestutis Naviskas dari Lithuania 21-5, 21-7 untuk mara ke suku akhir di mana dia menundukkan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-9, 21-11.
Beraksi di separuh akhir, pemain Malaysia itu menumpaskan pemain Korea Selatan Lee Hyun Il 21-18, 13-21, 21-13.
Walaupun terdapat beberapa lagi acara yang melibatkan atlet Malaysia di Sukan Olimpik Beijing ini, namun sebagaimana yang disasarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, harapan emas sebenarnya disandarkan kepada badminton.
Sejak penyertaan pertama Malaysia dalam temasya Olimpik di Melbourne pada 1956, seramai 413 atlet kebangsaan termasuk pada edisi di Beijing tahun ini, cuba meraih emas pertama buat negara.
Namun hanya enam atlet, termasuk Chong Wei, yang berjaya membawa pulang pingat dan kesemuanya dari acara badminton.
Bermula dengan kejayaan Razif-Jalani Sidek yang mendapat pingat pertama Malaysia dengan menyumbang gangsa pada edisi 1992 di Barcelona, adik mereka Rashid juga meraih pingat serupa empat tahun kemudian di Atlanta.
Pencapaian terbaik negara dalam pungutan pingat adalah melalui gandingan Yap Kim Hock-Cheah Soon Kit yang menyumbangkan perak juga di Atlanta.
Pingat perak dan gangsa dari Atlanta itu juga merupakan pingat terakhir Malaysia sebelum Chong Wei memecah kebuntuan malam tadi, biarpun sekadar perak.
Malaysia nampaknya terpaksa menunggu empat tahun lagi apabila London menjadi tuan rumah edisi 2012.
Persoalannya, apakah harapan untuk memecah kebuntuan emas disandarkan sepenuhnya kepada acara badminton sahaja.
Mengambil kira faktor umur, Chong Wei akan berusia 30 tahun empat tahun lagi manakala perseorangan kedua negara, Wong Choong Han yang kini berusia 31 tahun telah menyatakan, Beijing merupakan Olimpik terakhirnya.
Perseorangan ketiga negara, Muhd Hafiz Hashim, yang sebaya dengan Chong Wei, bagaimanapun gagal menunjukkan prestasi yang konsisten selepas memenangi Kejuaraan All England pada 2003.
Begitu juga bagi beregu veteran Chong Tan Fook/Lee Wan Wah yang masing-masing berumur 34 dan 35 tahun.
Harapan pastinya pada pasangan Koo Kien Keat (23) dan Tan Boon Heong (21) serta gandingan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari dan Mohd Zakry Abdul Latiff yang masing-masing berumur 25 tahun.
Pastinya di London, harapan meraih emas dari badminton terletak kepada dua gandingan ini.
Masalah utama adalah bagi acara perseorangan kerana barisan pelapis masih lagi gagal menyerlah.
Biarpun temasya di London akan berlangsung empat tahun lagi, tempoh tersebut sebenarnya terlalu singkat untuk melahirkan pemain yang berkaliber.
Kehebatan Chong Wei dan Chong Hann tidak lahir dalam tempoh yang singkat.
Jika harapan untuk meraih emas pertama Malaysia di Olimpik masih disandarkan kepada badminton, maka Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seharusnya mengambil langkah proaktif untuk melahirkan pemain seperti Lin Dan atau setidak-tidaknya seperti Chong Wei dalam tempoh empat tahun ini.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




