

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
15 Ogos, 2008 18:26 PM
Mun Yee, Elizabeth Berkongsi Tempat Ke-21 Acara 3m Papan Anjal
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 15 Ogos (Bernama) -- Dua penerjun negara, Leong Mun Yee dan Elizabeth Jimie gagal ke peringkat separuh akhir acara 3m papan anjal wanita setelah kedua-duanya berkongsi kedudukan ke-21 selepas berakhirnya saingan pusingan awal.
Dalam aksi melibatkan lima terjunan, kedua-duanya mengumpulkan 253.50 mata dalam saingan melibatkan 30 penerjun, yang dikuasai jaguh China Guo Jingjing yang mengumpul 373.90 mata.
Hanya 18 penerjun terbaik layak ke separuh akhir.
Mun Yee memperoleh 54 mata dalam terjunan pertama untuk kedudukan ke-17. Pada terjunan kedua beliau berada pada kedudukan ke-18 dan pada terjunan ketiga kedudukan ke-20.
Pada terjunan keempat, beliau jatuh ke kedudukan ke-30 selepas hanya mencatatkan 33 mata.
Akibatnya jurang semakin besar dan walaupun memperoleh 64 mata pada terjunan kelima dan terakhir, ia tidak cukup membantunya layak ke separuh akhir.
" Saya kurang yakin pada terjunan ketiga dan keempat," kata penerjun berusia 24 tahun itu selepas menamatkan aksinya pada Sukan Olimpik ketiga buatnya.
Elizabeth pula memperoleh 48, 54, 42, 52 dan 57 mata untuk naik empat kedudukan daripada tempat ke-25 selepas terjunan pertama.
Dua lagi penerjun negara, Bryan Lomas dan Pandelela Rinong akan beraksi dalam acara 10m platform lelaki dan wanita pada Rabu depan.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

