

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
13 Ogos, 2008 15:04 PM
Chu Sian Tersenarai 16 Terbaik Dalam Pertandingan Individu
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 13 Ogos (Bernama) -- Pemanah Malaysia Cheng Chu Sian yang gagal menunjukkan persembahan terbaiknya pada pertandingan berpasukan memanah Sukan Olimpik, hari ini bangkit semula apabila tersenarai 16 terbaik pada pertandingan individu.
Chu Sian memulakan pertandingan dengan menewaskan pemain Australia Matthew Gray 109-101 sebelum menewaskan Matti Hatava dari Finland 110-103 pada pusingan kedua persaingan individu yang ditentukan dengan 12 anak panah.
Bagaimanapun, esok Chu Sian akan menghadapi laluan sukar apabila berhadapan Lee Chang Hwan, dari Korea Selatan pemenang pingat emas yang memegang rekod Olimpik.
Pemenang perlawanan itu akan layak ke suku akhir.
Panahan Lee yang tepat pada sasaran memungut 117 daripada 120 mata untuk menewaskan Yusuf Goktug dari Turki untuk memasuki pusingan ketiga.
Seorang lagi pemanah Malaysia Muhd Marbawi Sulaiman tewas satu mata kepada pemanah Taiwan Chen Szu Yuan 107-106 pada pusingan pertama.
Wan Khalmizam Abd Aziz, pula hanya akan bermain pada pusingan pertama petang ini menentang Alexandru Bodnar dari Romania.
Pelajar komunikasi massa Universiti Putra Malaysia berusia 21 tahun itu adalah yang terbaik dalam trio Malaysia apabila menduduki rangking kelima. Beliau memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 674 mata pada pertandingan suku akhir berpasukan.
Bergandingan dengan Chu Sian dan Muhd Marbawi, pasukan itu mencatat rekod baru Malaysia dengan catatan 1,993 di sini.
Terdahulu jurulatih kebangsaan Lee Jae Hyung berkata adalah satu pencapaian jika pemanah Malaysia berjaya tersenarai 16 terbaik kerana ia adalah lapangan antarabangsa.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

