

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
13 Ogos, 2008 01:08 AM
Chong Wei, Beregu Kien Keat-Boon Heong Mara Ke Suku Akhir
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 13 Ogos (Bernama) -- Lee Chong Wei dan beregu muda Malaysia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong mara ke peringkat suku akhir manakala pemain senior Wong Choong Hann mengucapkan selamat tinggal setelah tewas dalam perlawanan badminton Sukan Olimpik.
Dengan pelbagai keputusan diperoleh pemain Malaysia, beregu Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong menempah tiket mereka dengan kembali bermain agresif tetapi pemain pilihan keempat Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah dikecewakan oleh pemain bukan pilihan Korea Selatan Lee Haejin dan Hwang Jiman dalam perlawanan rubber-set.
Ini menjadikan Malaysia berjaya menempah tiga tempat suku akhir.
Wong Mew Choo merupakan pemain pertama yang memperoleh tiket dalam perlawanan perseorangan wanita. Chong Wei sedang menyiapkan diri untuk perlawanan menentang pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro, pemenang pingat gangsa Olimpik Athens dan akan disaksikan dari luar gelanggang oleh Choong Hann yang terkeluar ditewaskan pemain Taiwan, Hsieh Yu Hsing.
Untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir, Kien Keat dan Boon Heong mesti menumpaskan juara dunia dari Indonesia, Markis Kido dan Hendra Setiawan Rabu malam.
Chong Wei, pemain pilihan kedua selepas juara dunia dari China, Lin Dan, seperti yang dijangkakan menempah tiket lapan terakhir apabila menang mudah menewaskan pemain Lithuania, Kestutis Navickas 21-5, 21-7 dalam pusingan ketiga.
Sony, satu-satunya pemain Indonesia yang masih berjuang selepas kekalahan juara bertahan Taufik Hidayat semalam, mara selepas menang 21-13, 21-18 ke atas pemain Ukraine, Vladyslav Druzchenko.
Sambil menyatakan rekod lampau tidak boleh diambilkira, Chong Wei berkata: "Sony merupakan seorang pemain yang kuat menyerang.
Saya mengetahui corak permainannya tetapi keadaan mungkin berubah pada temasya Olimpik di sini, maka saya perlu memastikan saya berada dalam tahap prestasi terbaik untuk menghadapinya."
Chong Wei yang berusia 26 tahun kini sudah semakin serasi bermain di gelanggang gimnasium Beijing University of Technology itu.
"Saya telah bermain dua perlawanan dalam gelanggang yang sama dan saya akan bermain dengan lebih konsisten dan kurang melakukan kesilapan," katanya.
Sony berkata kekalahan Taufik akan memberikan tekanan kepadanya untuk menyelamatkan maruah Indonesia yang terpaksa melepaskan pingat emas yang pertama kali dimenangi Allan Budi Kusuma di Barcelona pada 1992 dan Taufik di Athens empat tahun lepas.
"Saya tidak memikirkan perkara lain kecuali permainan saya sendiri. Chong Wei kelihatan berada dalam tahap yang baik di sini tetapi saya yakin, saya mempunyai kekuatan tersendiri," katanya.
Pemenang perlawanan itu akan mara ke separuh akhir dan bakal bertemu pemain pilihan ketiga dari China, Bao Chunlai atau pemain Korea Selatan, Lee Hyunil.
Yu Hsing menamatkan perjuangan Choong Hann pada penampilan ketiga dan terakhirnya dengan 14-21, 21-17 dan 21-18, sehari selepas pemain Malaysia itu berjaya menewaskan Taufik yang juga bermain buat kali terakhir dalam temasya Olimpik.
Kien Keat dan Boon Heong beroleh rentak permainan mereka apabila berjaya menewaskan pasangan Jepun, Shintaro Ikeda dan Shuichi Sakamota 21-12, 21-16 untuk mara ke suku akhir.
Tan Fook dan Wan Wah gagal mempertahankan permainan set pertama yang dimenangi apabila lawannya dari Korea berjaya mengajak mereka bermain dalam set penentuan dan akhirnya menewaskan mereka dengan 20-22, 21-13 dan 21-16.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

