

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
12 Ogos, 2008 23:40 PM
Kien Keat Dan Boon Heong Kembali Menggegar
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 12 Ogos (Bernama) -- Mereka melangkah ke gelanggang dengan rasa penuh kebimbangan tetapi selepas 34 minit, pasangan beregu Malaysia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong jelas girang apabila berjaya menumpaskan lawan pertama mereka dalam perlawanan beregu lelaki Olimpik.
"Sukar untuk mempercayainya apabila kami memperoleh kembali rentak permainan kami," kata Kien Keat kegirangan selepas mempamerkan permainan hebat menewaskan pasangan Jepun Ikeda Shintaro dan Shuichi Sakamoto 21-12, 21-16 untuk mara ke suku akhir.
Ia merupakan satu petanda pasangan muda negara kembali menyerlah setelah ketinggalan tahun ini dan menggegarkan dunia badminton apabila meraih sembilan gelaran utama dunia pada 2006 dan 2007 termasuk Sukan Asia di Doha dan juara All-England tahun lepas.
"Kombinasi kami sudah pulih kembali. Pada mulanya, kami ketakutan juga tetapi kemenangan ini menjadikan kami lebih yakin," kata Boon Heong.
Mereka dijangka menghadapi tentangan hebat kerana mereka telah tewas dua kali dalam pertemuan dengan pasangan Jepun itu tetapi sejak awal permainan, beregu Malaysia terus mengasak dan menyerang serta bertahan dengan baik, segera menamatkan permainan set pertama dalam tempoh singkat hanya 13 minit.
Dalam set kedua, Shintaro dan Sakamoto cuba memperlahankan rentak permainan dan menyelamatkan mata akhir perlawanan lima kali tetapi pasangan Malaysia enggan menyerah kalah serta terikut-ikut rentak lawan dan akhirnya Boon Heong berjaya mendapatkan mata kemenangan hasil pukulan smash.
Perlawanan suku akhir akan menjadi ujian bagi beregu Malaysia bagi membuktikan bahawa mereka akhirnya memperoleh kembali rentak permainan mereka dan jika lulus ia merupakan suatu kemunculan semula yang tepat pada masanya dalam penampilan pertama mereka dalam temasya Olimpik.
Mereka akan bertemu juara dunia Markis Kido dan Hendra Setiawan, pasangan pilihan, yang diberikan tentangan hebat oleh beregu China, Guo Zhendong dan Xie Zhongbo sebelum menang 22-20, 10-21, 21-17 malam ini.
"Kami akan turun sebagai underdog menentang pasangan Indonesia tetapi kemenangan malam ini menyemarakkan keyakinan kami, kata Boon Heong meskipun mereka belum pernah ditewaskan oleh Marko dan Hendra.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

