

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
12 Ogos, 2008 21:37 PM
Kevin Tersilap Dalam Pembukaan Perlumbaan
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 12 Ogos (Bernama) -- Pelayar negara, Kevin Lim hari ini melakukan kesilapan pada permulaan perlumbaan apabila berada melebihi garisan permulaan semasa acara laser diadakan di Qingdao, mengakibatkan penyertaan pertamanya dibatalkan.
Beliau yang kembali bersaing dalam perlumbaan kedua menduduki tempat ke-24 dengan penalti 2.58 mata.
Namun, ia bukanlah kekalahan sepenuhnya bagi pelayar tunggal Malaysia dalam acara pelayaran kerana peserta boleh mengetepikan satu keputusan daripada 10 perlumbaan.
"Barangkali ini perlumbaan yang perlu saya ketepikan tetapi ini akan meletakkan saya dalam situasi yang sukar kerana saya perlu lebih berhati-hati dalam perlumbaan yang lain," katanya ketika dihubungi di kota pelabuhan itu.
"Saya berasa agak kecewa, saya fikir saya berada di belakang garisan. Ini menjadikan saya lebih berhati-hati dalam perlumbaan kedua," kata Lim, yang mensasarkan untuk menduduki 20 tempat teratas dalam penampilan keempatnya pada temasya Olimpik yang disertai oleh 43 pelayar.
Hanya dua pelayar berjaya dalam saingan tanpa masalah, iaitu pelayar Argentina, Julio Alsogaray yang mendahului selepas perlumbaan pertama dan pelayar Perancis, Jean Baptiste Bernaz yang menduduki tempat pertama dalam perlumbaan kedua.
Lim yang menetap di Australia berkata keadaan pelayaran dijangka berubah-ubah esok kerana angin diramalkan bertiup dari utara berbanding lazimnya dari tenggara.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

