12 Ogos, 2008 17:09 PM

Wan Khalmizam Perlu Atasi Gementar Kurang Pengalaman

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 12 Ogos (Bernama) -- Wan Khalmizam Abd Aziz, paling menonjol di antara tiga atlet pasukan memanah negara pada temasya Olimpik di sini, perlu mengatasi gementar kurang berpengalaman ketika beraksi dalam pertandingan individu esok, walaupun turun sebagai atlet yang menduduki tangga kelima.

Atlet itu mengakui beliau sendiri terkejut dengan prestasinya di sini, memecahkan rekod kebangsaan apabila menduduki ranking kelima dengan catatan 674 mata dalam pertandingan suku akhir berpasukan semalam di mana Malaysia ditewaskan oleh Itali yang akhirnya meraih pingat perak.

Bergandingan dengan Cheng Chu Sian dan Muhd Marbawi Sulaiman, pasukan itu buat pertama kalinya berjaya ke Olimpik dengan memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 1,993 dalam pertandingan ranking, mengatasi rekod 1,980 yang dicipta mereka tahun lepas.

"Saya tidak pernah melakukan catatan terbaik seperti ini. Saya berharap dapat terus melakukan yang terbaik dan sasaran saya esok ialah 110," kata pelajar komunikasi massa Universiti Putra Malaysia berusia 21 tahun itu yang mula menceburi sukan itu sejak enam tahun lepas.

"Tetapi saya tidak ada pengalaman dalam pertandingan individu, selama ini kami bagus sebagai satu pasukan. Dalam pertandingan semalam. saya terlalu gugup dan gementar di arena," katanya.

Jurulatih kebangsaan Lee Jae Hyung sebelum ini berkata harapan Malaysia tipis dalam pertandingan individu kerana ia mempamerkan standard tinggi dan merupakan satu pencapaian jika mana-mana pemanah berjaya tersenarai 16 terbaik daripada 64 atlet dalam perlawanan kalah mati yang ditentukan dengan 12 anak panah.

Dalam pusingan pertama, Wan Khalmizam akan berdepan Alexandru Bodnar dari Romania.

Chu Sian akan bertemu Mathew Gray dari Australia manakala Muhd Marbawi Sulaiman bakal bertemu Chen Szu Yuan dari Taiwan.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.