

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
12 Ogos, 2008 15:47 PM
Kemelut KOAM Dan HPTC Jejaskan Pencarian Pingat Olimpik?
Oleh Zulhilmi Supaat
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Acara olahraga di Sukan Olimpik Beijing hanya akan bermula Jumaat ini, tetapi perang mulut antara dua pegawai badan sukan itu di tanahair kian memuncak pada hujung minggu lepas.
Pergeseran timbalan presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Karim Ibrahim dan pengarah Pusat Latihan Prestasi Tinggi (HPTC) Asia, Mohd Musa Noor Mohd bermula sejak pusat itu ditempatkan di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil pada 2006 apabila kedua-duanya saling mendakwa program olahraga mereka yang terbaik berbanding pesaing.
Kemuncaknya pada Ahad apabila Mohd Musa mencabar Karim melepaskan jawatannya atas alasan gagal menaikkan taraf sukan itu di negara ini sementara Karim pula semalam meminta kerajaan mengkaji semula penempatan HPTC di Bukit Jalil dengan alasan pusat berkenaan juga gagal melahirkan atlet tempatan yang cemerlang.
Ketika kedua-duanya mendakwa berjaya mengeluarkan atlet masing-masing untuk layak ke Beijing, tiga di bawah KOAM dan lima dari HPTC, mereka sepatutnya menilai fakta mengenai pencapaian atlet olahraga kebangsaan pada Sukan Olimpik.
Sejak Malaysia mula mengambil bahagian dalam temasya Olimpik pertamanya pada 1956, olahraga menjadi satu-satunya sukan yang tidak pernah gagal menampilkan atlet ke temasya itu, sama ada secara merit ataupun melalui 'wild card'.
Dalam 12 edisi Olimpik, dari edisi 1956 di Melbourne hingga ke Athens 2004, seramai 58 atlet olahraga diberi peluang untuk meraih pingat pertama daripada acara olahraga dalam temasya sukan terbesar dunia itu, tetapi gagal.
Jumlah atlet olahraga terbesar Malaysia yang menyertai temasya empat tahun sekali itu ialah pada edisi 1964 di Tokyo dengan 12 orang sementara jumlah paling kecil ialah pada edisi 1992 di Barcelona, hanya seorang iaitu Nur Herman Majid dalam acara 110m lari berpagar.
Pencapaian terbaik adalah di peringkat separuh akhir yang dicapai oleh Datuk Dr M. Jegathesan dalam acara 200 meter pada dua edisi, di Tokyo (1968) dan Mexico (1972) dan Ishtiaq Mubarak dalam acara 110m lompat berpagar di Mexico (1972).
Bagi edisi 2008 di Beijing, Malaysia menerusi KOAM menghantar tiga atlet yang layak secara merit, Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita), Yuan Yu Fang (jalan kaki wanita 20 km) dan Lee Hup Wei (lompat jauh lelaki).
Roslinda akan memulakan kempen Olimpiknya pada Sabtu ini, Hup Wei pada Ahad sementara Yu Fang pada Khamis depan.
Catatan peribadi terbaik Roslinda ialah 4.40m yang juga rekod kebangsaan yang dilakukannya di Jerman tahun lepas.
Rekod Olimpik ialah 4.91m yang dibuat oleh atlet Rusia, Yelena Isinbaeva pada temasya 2004 di Athens, yang juga pemegang rekod dunia dengan catatan 5.04m yang dilakukan di Monaco Julai lepas.
Bagi Yu Fang, catatan terbaiknya ialah 1 jam 36 minit dan 00 saat sementara rekod Olimpik dipegang oleh atlet China, Wang Liping dengan mencatat 1'29:05s di Sydney dan rekod dunia menjadi milik Lornah Kiplagat dari Netherlands dengan catatan 1'02:57s yang dilakukan pada 2007.
Sementara Hup Wei masih memegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.27m, rekod Olimpik dicatat oleh Charles Austin dari Amerika Syarikat dengan catatan 2.39m di temasya Atlanta dan rekod dunia milik atlet Cuba, Javier Sotomayor dengan catatan 2.45m yang dilakukan pada 1993.
Berdasarkan perbezaan statistik rekod kebangsaan berbanding rekod Olimpik dan dunia, hanya Yu Fang yang seakan mampu untuk menyaingi rekod Olimpik yang di catat oleh Wang Liping.
Pun begitu, perbezaan tujuh minit lima saat bukanlah catatan masa yang senang dikejar oleh atlet Malaysia kelahiran China itu.
Bagi Karim dan Mohd Musa, perbezaan catatan masa dan jarak di antara atlet kebangsaan dan pemegang rekod Olimpik sepatutnya menjadi cabaran kepada mereka dan bukannya meneruskan pertikaman lidah untuk menjadi hero yang melahirkan atlet olahraga cemerlang di negara ini.
Sepatutnya KOAM yang mewakili badan olahraga tempatan dan HPTC yang mendapat bantuan dari Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) duduk semeja untuk kebaikan atlet tempatan.
Persaingan masa kini menuntut atlet untuk cemerlang di pentas antarabangsa dan bukan sekadar mencatat rekod kebangsaan.
Sukan Olimpik juga bukan venue untuk memperbaiki rekod kebangsaan tetapi medan untuk membuktikan atlet itu antara terbaik daripada yang terbaik dengan cara meraih pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

