Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
12 Ogos, 2008 14:02 PM
Chong Wei Berentap Dengan Sony Kuncoro Dalam Perlawanan Suku Akhir
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 12 Ogos (Bernama) -- Atlet yang menjadi harapan terbaik negara untuk merangkul pingat emas di Sukan Olimpik, Lee Chong Wei akan berentap dengan pemain badminton dari Indonesia Sony Dwi Kuncoro dalam perlawanan suku akhir badminton perseorangan lelaki Olimpik Khamis ini.
Chong Wei, pemain pilihan kedua di belakang juara dunia dari China Lin Dan, seperti diduga menempah tempat di kalangan lapan pemain terbaik kejohanan dengan kemenangan mudah mengatasi pemain dari Lithuania Kestutis Navickas 21-5, 21-7 dalam perlawanan pusingan ketiga pagi ini.
Sony, satu-satunya pemain Indonesia yang tinggal dalam saingan itu selepas penyandang juara Taufik Hidayat ditumbangkan semalam, mara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Vladyslav Druzchenko dari Ukraine dengan 21-13, 21-18.
Sony menumpaskan Chong Wei dalam pertemuan mereka di Kuala Lumpur tahun lepas, tetapi dalam pertemuan di Terbuka Denmark dan Terbuka China kemudiannya, Chong Wei bangkit kembali untuk menundukkan Sony.
"Rekod perlawanan sebelum ini tidak boleh diambil kira, Sony amat hebat dalam menampilkan serangan bertalu-talu. Saya tahu benar dengan corak permainannya, tapi ia mungkin berubah pada Olimpik kali ini, jadi saya perlu memastikan yang saya berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapinya," kata Chong Wei.
Chong Wei, 26, kelihatan sudah membiasakan diri dengan keadaan di gelanggang Beijing University of Technology gymnasium dan dilihat semakin selesa dengan permainan di gelanggang itu.
"Saya bermain dengan baik dalam dua perlawanan sebelum ini di gelanggang yang sama, dan permainan saya semakin konsisten, tidak banyak buat kesilapan," katanya.
Sementara itu Sony berkata kekalahan Taufik akan memberi tekanan kepadanya untuk menyelamatkan maruah Indonesia dalam merebut pingat emas, selepas kali pertama pingat emas Olimpik Indonesia dalam acara itu dirangkul oleh Allan Budi Kusuma di Barcelona pada tahun 1992, dan kemdiannya Taufik di Athens empat tahun lepas.
"Saya tidak fikir perkara lain lagi selain perlawanan saya. Prestasi Chong Wei nampak cukup baik tapi saya lebih yakin, saya ada kekuatan sendiri," kata pemain Indonesia itu.
Pemenang peringkat ini nanti akan mara ke perlawanan separuh akhir dan akan bertemu sama ada dengan pemain pilihan ketiga Bao Chunlai dari China, atau pemain bukan pilihan tapi cukup berbahaya dari Korea Selatan Lee Hyunil.
Seorang lagi perseorangan Malaysia Wong Choong Hann, berjaya mencerahkan harapannya untuk mara ke perlawanan suku akhir selepas menumpaskan Taufik dalam straight games semalam.
Lawan pusingan ketiga beliau malam ini ialah pemain Taiwan Hsieh Yu Hsing yang berjaya menundukkan pemain Vietnam Nguyen Tienh Minh dalam pusingan kedua semalam.
Beregu Malaysia juga akan turun gelanggang untuk berentap dalam saingan pra-suku akhir malam ini, dan mereka dijangka menghadapi saingan yang cukup sengit.
Pilihan keempat Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah akan berhadapan dengan Lee Jaejin dan Hwang Jinman dari Korea Selatan, manakala Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong pula berhadapan dengan Shintaro Ikeda dan Shuichi Sakamoto dari Jepun.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




