09 Ogos, 2008 16:17 PM

Seri Paduka Baginda Harap Malaysia Bawa Pulang Emas Pertama Olimpik

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 9 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin melahirkan harapan supaya Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas yang pertama Sukan Olimpik pada majlis ramah mesra bersama atlet negara di perkampungan sukan hari ini.

"Sukan Olimpik adalah kejohanan berpestij dan jika kontijen Malaysia mencapai kejayaan, ia akan membawa kejayaan yang besar dan menaikkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa," titah Tuanku Mizan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Seri Paduka Baginda berdua turut berangkat ke upacara pembukaan di Stadium Sarang Burung malam tadi.

Tuanku Mizan bertitah baginda berdua gembira dapat bersama-sama atlet dan sentiasa berdoa agar kontijen Malaysia memperoleh kejayaan kerana jutaan rakyat menaruh harapan kali ini.

Malaysia masih menunggu pingat emas Sukan Olimpik pertama sejak menyertai temasya itu pada 1956. Sehingga ini, hanya pasukan badminton negara berjaya meraih satu pingat perak dan dua gangsa dan masih ketandusan pingat Olimpik sejak 1996.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah meluangkan masa kira-kira dua jam bersama-sama atlet dan melawat zon antarabangsa di perkampungan sukan yang menampung kira-kira 12,000 atlet dari 204 negara.

Antara atlet yang hadir ialah jaguh badminton Lee Chong Wei yang menanggung harapan terbesar.

Beliau merupakan pemain pilihan kedua dalam pertandingan lelaki perseorangan yang dijangka sengit kerana pemain tuan rumah dan juara dunia, Lin Dan, juga memburu pingat emas.

Tuanku Mizan, yang juga seorang ahli sukan yang handal dalam ekuestrian, berharap semua atlet bersiap sedia menempuh cabaran dan mempamerkan tumpuan dan semangat kesukanan pada tahap yang tertinggi.

Sejumlah 33 atlet akan menyertai 10 acara sukan mewakili Malaysia kali ini.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.