08 Ogos, 2008 22:05 PM

Ramai Peminat Badminton China Pilih Chong Wei Sebagai Juara

BEIJING, 8 Ogos (Bernama) -- Ramai peminat badminton China yakin walaupun menduduki ranking nombor dua dunia, pemain Malaysia Lee Chong Wei mampu mengalahkan pemain nombor satu dunia Lin Dan dari negara mereka bagi meraih pingat emas dalam acara itu pada sukan Olimpik Beijing.

Sungguhpun sembilan daripada 10 warga China tidak mampu menyebut nama Chong Wei dengan betul (mereka menyebutnya "Eee Chung Why"), tetapi mereka cepat menghidu potensi yang dimiliki pemain Malaysia itu.

"Mungkin, beberapa tahun lepas saya tidak memilih "Chung Why" kerana dia mudah terdorong untuk membuat kesilapan, tapi sekarang saya dapati dia merupakan pemain yang tenang dan sebaliknya, Lin Dan pula yang terkial-kial dengan permainannya kebelakangan ini," kata Zhou Peng, seorang guru pendidikan jasmani dari Hangzhou, tidak jauh dari Shanghai.

Lin Han, yang berasal dari wilayah Fujian -- juga wilayah kelahiran Lin Dan -- berkata perlawanan antara Lin Dan dan Lee Chong Wei pasti hebat dan menjadi acara kemuncak Sukan Olimpik kali ini. Bagaimanapun, dia juga berpendapat prestasi pemain senegaranya itu kurang mantap.

"Mungkin, sebelum perlawanan akhir Piala Thomas di Jakarta dulu, banyak peminat China akan bertaruh untuk Lin Dan, tapi selepas menyaksikan Chong Wei menewaskan Lin Dan dengan straight set 21-12, 21-14, kebanyakan mereka, termasuk saya, berasa cemas.

"Saya percaya Chong Wei mampu menang pingat emas di sini," katanya.

Badminton, yang menawarkan lima pingat emas melalui acara perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita dan beregu campuran (tiada acara berpasukan), akan membuka gelanggangnya esok dengan perlawanan bagi acara perseorangan lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, perlawanan esok tidak melibatkan pemain Malaysia, tetapi pada Ahad (6.50 petang), Wong Mew Choo akan berdepan dengan pemain Afrika Selatan Kerry Lee Harington pada pusingan pertama perseorangan wanita, manakala Wong Pei Tty/Chin Ee Hui bertemu beregu Korea Selatan Lee Kyung-won/Lee Hyo-jung dalam pusingan pertama beregu wanita.

Chong Wei pula akan memulakan kempennya pada Ahad (10 pagi) dengan menentang pemain Singapura Ronald Susilo, yang mengalahkan Lin Dan pada Olimpik Athens 2004.

Lin Dan, juara dunia tiga kali (2005 Anaheim, 2006 Madrid, 2007 Kuala Lumpur) dan juara tiga kali kejohanan All England (2004, 2006, 2007), akan berdepan dengan Ng Wei dari Hong Kong.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki Malaysia Wong Choong Hann, dijangka berdepan dengan tugas berat apabila menentang juara bertahan Taufik Hidayat dari Indonesia, juga pada Ahad (5.40 petang).

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.