08 Ogos, 2008 17:12 PM

Agong, Pemaisuri Hadiri Majlis Jamuan Presiden China

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 8 Ogos (Bernama) - Berucap pada jamuan tengah hari dengan hidangan Itik Beijing salai, daging lembu digulung daun teratai dan muzik dari pancaragam tentera, Presiden China Hu Jintao menyeru dunia menggunakan Sukan Olimpik Beijing bagi mencetuskan persefahaman lebih mendalam untuk menghadapi "cabaran-cabaran hebat yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah".

"Belum pernah wujud keperluan lebih mendesak untuk kita memahami, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain.

"Sukan Olimpik Beijing adalah satu peluang bukan saja bagi China tetapi juga seluruh dunia," kata Hu meraikan 300 tetamu terdiri daripada para pemimpin dunia, pegawai-pegawai sukan antarabangsa dan tokoh-tokoh media.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin and Tuanku Nur Zahirah adalah antara tetamu di meja pemimpin China itu bersama Presiden AS George Bush, Perdana Menteri Jepun Yasuo Fukuda, Perdana Menteri Russia Vladimir Putin, dan Presiden Perancis Nicholas Sarkozy.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Jacques Rogge dan presiden sebelumnya, Juan Antonio Samaranch, yang pernah mempengerusikan mesyuarat menyerahkan Olimpik 2008 kepada China tujuh tahun lepas juga duduk di meja utama.

Rogge duduk di sebelah kanan Hu, memisahkan presiden China itu dan Bush, yang mengecam rekod hak asasi China dalam ucapannya di Thailand dalam perjalanan ke Beijing untuk menyaksikan sukan itu bersama isterinya, Laura.

Dalam ucapannya yang diterjemahkan serentak ke beberapa bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Russia dan Arab, untuk tetamu, Hu menyifatkan Olimpik Beijing, yang dibuka malam ini, sebagai detik bersejarah dan impian seabad yang dikongsi oleh rakyat China.

Mengulangi ikrar China untuk menampilkan sukan berstandard tinggi, Presiden itu menggesa negara-negara peserta berusaha untuk persefahaman lebih mendalam, memupuk persahabatan dan "bangkit mengatasi segala perbezaan".

Sukan dari 8 hingga 24 Ogos itu dengan lebih 10,000 atlet dari seluruh dunia itu diadakan di Asia hanya buat kali ketiga dalam sejarah.

Hu juga mengucapkan terimas kasih kepada masyarakat antarabangsa kerana bantuan mereka selepas gempa bumi hebat pada 12 Mei yang melanda Wenchuan di Sichuan, wilayah barat daya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.