

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
07 Ogos, 2008 19:20 PM
Pembawa Bendera Jalur Gemilang Tertekan Tapi Bangga
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 7 Ogos (Bernama) -- Walaupun bangga diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada perasmian temasya Sukan Olimpik Beijing esok, namun perasaan gemuruh tidak dapat dielakkan oleh Azizul Hasni Awang.
Jaguh pecut lumba basikal negara berusia 20 tahun itu teruja apabila bakal mengetuai perarakan kontinjen negara seramai 33 atlet dan 29 pegawai masuk ke Stadium Nasional "Sarang Burung".
"Saya berbohong jika saya mengatakan tiada tekanan tetapi saya harap perasaan takut ini tidak akan menjejaskan prestasi dalam acara saya," katanya setiba di sini dari Sepanyol hari ini bersama rakan sepasukan lain.
Azizul Hasni, atlet dari Terengganu itu akan menyertai tiga acara iaitu pecut 200 individu, keirin bersama Josiah Ng dan acara berpasukan bersama Josiah dan Mohd Rizal Tisin mulai 15 Ogos ini.
Pelumba muda itu pernah menduduki tempat kelapan acara pecut pada Kejohanan Trek Sedunia di Manchester, England, dengan catatan 10.16 saat dan sekaligus memecahkan rekod Asia.
Azizul, Josiah, Rizal dan Muhd Edrus Yunus telah mengikuti latihan lebih sebulan di bandaraya Valencia, Sepanyol, sebagai persediaan akhir menjelang cabaran Sukan Olimpik di Velodrom Laoshan di sini.
"Bangga gila...dapat layak ke Sukan Olimpik pun sudah cukup bertuah, dapat pula menjadi pembawa bendera negara, satu kemegahan buat diri saya dan keluarga," kata Azizul.
Beliau, yang merangkul juara 200m pecut dan keirin di kejohanan Asia di Jepun tahun ini, berkata beliau tidak memikirkan soal merangkul sebutir pingat di sini tetapi hanya mampu berusaha sebaik mungkin.
Katanya latihan di Valencia berjalan lancar dan beliau juga mengambil kesempatan menonton rakaman video perlumbaan antarabangsa bagi mendalami taktik pasukan lawan.
Pada temasya Sukan Olimpik, Malaysia tidak pernah meraih pingat dalam acara berbasikal dan pencapaian terbaik ialah pelumba M.Kumaresan dan Josiah yang melayakkan diri ke peringkat akhir acara perlumbaan mata dan keirin masing-masing pada 1992 dan 2004.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

