07 Ogos, 2008 19:13 PM

Pakar ISN Pantau Kesihatan Atlet Di Beijing

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Sekumpulan pakar sains sukan dari Institut Sukan Negara (ISN) diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ramlan Abd Aziz kini berada di Beijing bagi memantau kesihatan 33 atlet negara yang bertanding pada Sukan Olimpik yang bermula secara rasmi, Jumaat.

Dr Ramlan berkata kumpulan tersebut yang dianggotai pakar perubatan sukan, pakar psikologi, ahli fisioterapi dan juruanalisis permainan akan berada bersama atlet Malaysia di dalam dan di luar Perkampungan Sukan.

"Pasukan ini dilengkapkan dengan bekalan ubatan dan peralatan perubatan yang mencukupi untuk membantu atlet sepanjang temasya berlangsung," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Dr Ramlan yang kini berada di Beijing berkata selain pasukan tersebut, satu lagi pakar sains sukan yang dikenali sebagai pasukan prestasi tinggi turut berada di Beijing yang menawarkan khidmat fisiologi senam, biomekanik, pemakanan dan psikologi sukan.

Dr Ramlan berkata sehingga kini tiada kecederaan dialami oleh mana-mana atlet Malaysia dan tahap kesihatan mereka sangat memuaskan.

"Tetapi ISN akan terus memantau perkembangan kesihatan atlet terutama dari segi tekanan yang dirasai menjelang hari pertandingan dan keadaan cuaca yang berjerebu di Beijing sekarang," katanya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.