07 Ogos, 2008 18:42 PM

MTA Sudah Melihat Kepada Olimpik London 2012

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Sukan Olimpik Beijing belum pun bermula tetapi Persatuan Taekwando Malaysia (MTA) sudahpun memulakan persiapan untuk menghadapi Olimpik London 2012 dengan menganjurkan Kejohanan Taekwando Kebangsaan minggu depan.

Presiden MTA Raja Taharudin Raja Nong Chik berkata kejohanan itu yang akan berlangsung di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang dari 16 hingga 18 Ogos ini bertujuan mencari pelapis bagi skuad negara menghadapi Sukan Olimpik di London itu selain untuk ke Sukan Sea di Laos (2009), Sukan Asia di Guangzhou (2010) dan Sukan Komanwel di India (2010).

"Pencarian pelapis perlu dilakukan segera kerana atlet elit mungkin tidak akan bertanding pada temasya sukan akan datang," katanya kepada Bernama, Khamis.

Taharudin berkata kini terdapat tujuh atlet dalam skuad pelapis teakwando negara dan jumlah itu perlu ditambah bagi mengelak berlakunya masalah ketandusan atlet pada masa hadapan.

Kejohanan di Pulau Pinang dijangka disertai 300 orang atlet taekwando berusia 17 tahun ke bawah.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.