07 Ogos, 2008 16:10 PM

Atlet Malaysia Rehat Sebelum Olimpik Bermula

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 7 Ogos (Bernama) -- Atlet Malaysia kini tenang menanti kejohanan Olimpik bermula yang detik pembukaannya hanya tinggal hanya 24 jam lagi.

Walaupun keadaan berjerubu yang memanaskan cuaca berterusan, mereka tidak membuang masa untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang pertarungan.

Berita baik ialah mereka telah dapat menyesuaikan diri dengan kedaan cuaca.

"Mereka dalam kedaan bersiap sedia untuk bertarung," kata chef-de-mission Datuk Ho Koh Chye yang ternyata gembira anak buahnya turut dalam keadaan gembira dan rileks sebelum mula memerah keringat.

Malaysia mengidam sekurang-kurangnya satu pingat terutama daripada pasukan badminton, lebih-lebih lagi menerusi jaguh perseorangan Lee Chong Wei yang diharap-harap menggondol emas pertama buat negara.

Harapan untuk sebarang pingat turut disandarkan kepada trio pasukan pemanah lelaki Cheng Chu Sian, Muhammad Marbawi Sulaiman dan Wan Khalmizam Abdul Aziz, yang kini menduduki ranking keempat dunia.

Yang lain ialah pasukan kuartet lumba basikal yang terdiri daripada Azizul Hasni Awang, Josiah Ng, Rizal Tisin dan Muhd Edrus Yunus, yang tiba di sini hari ini selepas latihan di Valencia yang diikuti kejayaan memberangsangkan mereka dalam acara keirin dan pecut pada Kejohanan Berbasikal Asia tahun ini.

"Setiap orang tahu apa yang diharapkan daripada mereka. Kita memiliki pencabar kelas dunia, kumpulan kedua yang mampu memberi cabaran dan para atlet yang akan melakukan yang terbaik," kata Koh Chye merujuk kepada 33 atlet negara yang akan bertanding dalam sembilan acara.

Sejak menyertai Olimpik pada 1956, kecuali pada 1980 di Moscow, Malaysia menggondol pingat pertama iaitu gangsa pada 1992 menerusi acara badminton daripada pasangan beregu adik beradik Razif dan Jalani Sidek.

Empat tahun kemudian, pasangan Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock memenangi perak dan pingat gangsa menerusi pemain perseorangan Rashid Sidek di Olimpik Atlanta.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara Datuk Dr Ramlan Abd Aziz yang sentiasa memantau indeks kualiti udara, berkata tiada atlet yang mengalami kecederaan sementara perenang Siow Yi Ting juga sudah pulih dari demam selesema yang dihidapinya sebaik tiba di Beijing.

Untuk malam pembukaan esok, Koh Chye berkata terpulang kepada pengurus pasukan untuk menentukan sama ada mereka mahu atlet mereka menyertai perarakan.

"Acara pembukaan mamakan masa berjam-jam dan para pengurus boleh menentukan sama ada untuk merehatkan atlet mereka dengan mengambil kira soal cuaca."

"Saya jangka kita akan mempunyai antara 20 hingga 24 orang atlet dan pegawai untuk acara perarakan," katanya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.