, 21 2009

07 November, 2009 22:53 PM

Ghani Enggan Komen Jawatan Ceo IRDA

JOHOR BAHARU, 7 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman enggan mengulas sama ada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Harun Johari akan meletak jawatan.

Abdul Ghani, yang juga pengerusi bersama IRDA dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ditanya mengenai satu laporan portal berita tempatan bahawa Harun telah mengemukakan surat peletakan jawatannya.

Katanya beliau akan melihat perkembangan mengenai isu itu dalam beberapa bulan akan datang.

Terdahulu itu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian membina sebuah taman tema permainan tertutup di Iskandar Malaysia antara Khazanah Nasional Themes dan Resorts Attraction Sdn Bhd (TAR) dengan lima rakan lain di sini pada hari Sabtu.

Bulan lepas, portal berita 'Malaysian Insider' melaporkan Harun yang sebelum ini berkhidmat dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), akan meninggalkan IRDA pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun, IRDA menafikan laporan portal berita itu dan menyatakan Harun masih lagi menjadi CEOnya dan komited terhadap tugas dan tanggungjawabnya bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek itu mengikut jadual.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.