

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
07 November, 2009 20:32 PM
Kompleks MAYC Tidak Dijual Untuk Langsai Hutang RM9 Juta
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) tidak bercadang menjual aset mereka termasuk bangunan Kompleks MAYC di Jalan Syed Putra bagi melangsaikan hutang tertunggak sebanyak RM9 juta, kata bekas presidennya Tan Sri Syed Hamid Albar.
Katanya, pihak persatuan tidak akan menjual bangunan yang dianggarkan bernilai RM20 juta itu kerana bagi mereka ia menyimpan nilai 'nostalgia' yang tinggi.
"Bangunan MAYC terhutang sebanyak RM27 juta tapi sekarang dah dapat dikurangkan bunganya kepada RM9 juta, kita mempunyai pilihan menjual bangunan itu dengan membeli bangunan yang kecil untuk selesaikan hutang-hutang kita tapi kita terlampau nostalgik dengan bangunan tu," katanya dalam sidang media di sini pada hari Sabtu.
Syed Hamid sebelum itu hadir pada majlis serah tugas jawatan presiden MAYC yang dipegangnya selama tujuh tahun kepada Suraya Yaacob dan mengadakan perjumpaan dengan Exco MAYC yang baru.
Katanya MAYC akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu termasuk meminta bantuan pihak kerajaan.
"Kita tak mampu nak bayar ansuran, tapi kalau kita jual aset memang kita boleh bayar hutang, kalau kerajaan dulu bantu Kobena, bantu 4B untuk langsaikan hutang, jadi kita berharap mendapat pendekatan dan layanan yang sama untuk langsaikan hutang ini demi mengekalkan bangunan milik belia ini," katanya.
Kompleks MAYC menempatkan Wisma Belia dan Wisma Tunku yang beroperasi sebagai Hotel MAYC sejak 1981.
Jika dikira aset keseluruhan peringkat kebangsaan milik MAYC termasuk dua syarikat dan dua lot kedai di Taman Shamelin Cheras, persatuan itu memiliki aset bernilai RM26 juta.
Syed Hamid berkata, beliau berpuas hati dengan peranannya selama tujuh tahun menerajui persatuan belia itu terutama dalam penstrukturan semula pentadbiran organisasi itu dalam usaha menghapuskan bebanan hutang.
Mengulas mengenai peralihan kuasa dalam MAYC, beliau berkata langkah itu adalah selari dengan penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang mahu persatuan-persatuan belia di negara ini diterajui pemimpin berusia tidak kurang dari 15 tahun dan tidak lebih 40 tahun.
Katanya barisan Exco penaja yang baru itu merupakan 'orang lama' yang cukup berpengalaman dalam MAYC yang berusia bawah 40 tahun.
Sementara itu, Suraya, 40, Exco Wanita Umno dan Angggota Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Kedah berkata, banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan MAYC pada Februari depan.
"Dua hingga tiga bulan ini saya mahu lihat semua secara fizikal, kedudukan terkini semua aset dan liabiliti MAYC disamping menentukan semua negeri dan kawasan menjalankan mesyuarat agung masing-masing pada November hingga Januari untuk mengupayakan MAYC peringkat kebangsaan bagi peralihan kuasa Februari ini," katanya yang juga Tokoh Belia Wanita 2007.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

