, 21 2009

04 November, 2009 11:00 AM

Puziah: Dari Pendidik Menjadi Usahawan Berjaya

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Di tengah-tengah kegawatan ekonomi yang melanda negara dan dunia pada 1998, Puziah Saad nekad berhenti daripada kerjayanya sebagai seorang pendidik.

Beliau yang berkhidmat selama lapan tahun sebagai pendidik membuat keputusan itu untuk bergiat sepenuh masa dalam bidang Perniagaan Jualan Langsung Berbilang Peringkat (MLM).

Meskipun tidak mempunyai kelayakan dalam bidang pemasaran, Puziah, anak seorang peneroka dan dilahirkan di Selangor 44 tahun lalu, cukup yakin dengan prospek MLM serta kemampuannya untuk cemerlang dalam bidang itu.

Semasa menjadi pendidik lagi, wanita yang berhati cekal ini berjinak-jinak dalam bidang jualan langsung secara sambilan dan berkat kesungguhan, dia memperoleh jualan yang lumayan dalam tempoh masa yang singkat.

Yakin dengan kebolehannya, beliau memberi notis 24 jam berhenti daripada jawatan gurunya untuk memberi tumpuan sepenuh masa kepada bidang keusahawanan khususnya MLM.

TIDAK MALU

Kalau hendak diikutkan, Puziah tidak mempunyai sebarang latar belakang pemasaran.

Menurut beliau, mungkin aset paling berharga yang ada pada dirinya ialah kebolehan bercakap serta tidak mempunyai rasa malu apabila mahu menjual produk yang diniagakan.

"Bagi saya bakat keusahawanan ini sudah sebati dalam diri saya sejak kecil lagi. Semasa bersekolah saya menjual jambu dan jagung, bukan sangat untuk keperluan belanja, tetapi kawan-kawan yang minta.

"Di belakang rumah, emak ada menanam pokok jagung. Bila kawan-kawan minta, saya bawa tiga atau empat ketul. Dalam soal jual-menjual, saya memang tak malu sejak kecil lagi. Bila saya mulakan bisnes MLM, apa juga yang saya jual memang laku. Di situ saya mula sedar bakat saya," kata Puziah kepada Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Wisma De Bella, Taman Maluri di sini baru-baru ini.

Puziah menjelaskan bahawa untuk perniagaan MLMnya, beliau menubuhkan Bella-Z Mutiara Marketing (M) Sdn Bhd yang memulakan operasi pada 7 Julai 1998 dan menyandang jawatan Pengarah Urusan.

Produk awal yang melonjakkan namanya dalam bidang MLM ialah tujuh produk penjagaan kesihatan berasaskan aloe vera terutama aloe vera drinking gel yang didakwanya sangat baik untuk peredaran darah yang diperoleh daripada pembekal luar negara dan dijual di bawah jenama De Bella.

BANYAK PAHIT

Menjadi usahawan sememangnya banyak cabaran dan seperti kata Puziah, banyak liku dan pahit daripada manisnya.

"Tapi bila sampai ke satu tahap sukses, kita akan rasa puas. Ini untuk usahawan tulen bukan usahawan segera atau usahawan yang bersandarkan pengaruh atau kaitan politik," kata Puziah yang sudah mendirikan rumah tangga dengan Mustapa Sulaiman dan mempunyai tiga cahaya mata, Nabilla Huda, Natasha Ain dan Nabihan Ariff.

Menoleh kembali pengalaman awal perniagaannya, Puziah berkata beliau terpaksa mencagarkan rumah, menjual barang kemas serta keretanya untuk dijadikan modal perniagaan.

"Saya dapat kira-kira RM200,000 untuk dijadikan modal dan suami saya berkata kalau perniagaan saya gagal alamat kami semua duduk bawah jambatan tapi saya minta suami saya bagi saya peluang terakhir," cerita Puziah.

Tambahnya, pada peringkat awal, bisnesnya dibuat dari rumah sahaja. Apabila stok pertama sampai, semuanya disimpan di rumah teresnya hingga memenuhi setiap ruang yang ada.

"Sebulan saya tak boleh tidur, berat badan dari 65kg turun kepada 48kg. Di situ saya bina kekuatan saya. Bulan pertama saya jual RM60,000, bulan kedua mencecah RM200,000 dan bulan ketiga, RM300,000. Tak sampai lima bulan, stok saya habis.

"Pada saya komitmen datang apabila kita terdesak. Katakan anda sedang berjalan dan tiba-tiba ada anjing gila mengejar. Apakah anda akan lari? Di depan pula ada tembok tinggi, boleh lepas atau tidak?

"Di situlah cabarannya. Di situ kita akan tahu kekuatan kita. Apa sahaja yang kita ada, kita lemparkan, rasa takut, menggeletar, menggigil," kata Puziah.

PESAT BERKEMBANG

Kesungguhan Puziah menerajui perniagaan MLMnya ternyata membuahkan hasil yang lumayan bermula dari 1998 sehingga 2003. Limpahan rezeki membolehkan juga beliau membeli beberapa hartanah untuk dijadikan sebagai aset syarikat.

Antara hartanah itu ialah Wisma De Bella bernilai RM2.5 juta yang terletak di No 122 dan 124, Jalan Jejaka, Taman Maluri di sini.

Di samping menjadi Pengarah Urusan, di peringkat awal operasi syarikatnya, beliau juga mengendalikan sendiri latihan untuk mereka yang menjadi 'pemimpin'(leaders) perniagaan MLMnya.

"Saya tidak menjalani kursus untuk menjalankan latihan ini, hanya banyak membaca dan mencurahkan pengalaman sendiri yang sedia ada. Saya juga berhasil melahirkan leaders yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Saya adakan latihan setiap minggu antaranya meningkatkan motivasi dan bagaimana membangunkan perniagaan," jelas Puziah.

Bermula dengan tujuh produk penjagaan kesihatan berasaskan aloe vera, beliau kemudian menambah produk lain termasuk produk berasaskan kecantikan untuk penjagaan kulit di samping alat solek.

TANGANI KRISIS

Seperti mana-mana perniagaan yang ada 'pasang surut'nya, perniagaan Puziah tidak terkecuali, tetapi jelasnya ia lebih berpunca kepada krisis dalaman apabila sekumpulan 'pemimpin'nya bertindak berhenti dan menubuhkan syarikat sendiri.

"Perniagaan memang terjejas tetapi alhamdulillah masih dapat bertahan kerana saya mempunyai pasukan pekerja yang sentiasa menyokong saya. Saya juga menukar strategi daripada kerap mengadakan latihan kepada mencetak katalog untuk pengedar-pengedar saya.

"Katalog ditukar setiap dua minggu. Strategi ini ternyata berkesan dan jumlah jualan juga semakin pulih," katanya.

Menurut Puziah, setakat ini pihaknya mempunyai 30 buah pusat servis termasuk di Sabah dan Sarawak, 500 stokis dan 10,000 pengedar yang aktif.

Di samping itu, beliau juga mempunyai pemegang francais De Bella di Bangkok, Jakarta dan Manila.

Usahawan gigih ini juga memberitahu, perniagaannya dapat bertahan lebih 12 tahun kerana urusan pentadbiran kewangan yang berhemah.

"Banyak usahawan MLM yang sudah gulung tikar tetapi syarikat saya masih dapat bertahan dan pada saya faktor utama ialah pengurusan kewangan yang berhemah.

"Dalam kewangan yang sempit pun saya pastikan kewangan syarikat diurus sebaik mungkin dan sewaktu saya sukses, saya beli banyak aset. Jika saya mengalami kesulitan kewangan sekarang pun, saya boleh jual balik aset ini dengan harga yang berlipat-ganda," jelas Puziah.

CEBURI PERTANIAN

Lebih 12 tahun bergelut dengan pelbagai cabaran dan turun-naik perniagaan, Puziah sebenarnya sudah boleh duduk bersandar mengecap nikmat kejayaan sebagai usahawan MLM yang berjaya.

Bagaimanapun, Puziah belum bersedia untuk santai dalam zon selesanya. Beliau kini mengorak langkah untuk menebarkan semangat keusahawanan dengan menceburi pula bidang pertanian.

Menjelaskan rasional mengembangkan perniagaan daripada MLM kepada pertanian, usahawan ini berkata ia lebih kepada menyahut seruan kerajaan supaya mengusahakan tanah terbiar dan terbengkalai.

Projek pertanian pertama Puziah ialah ternakan itik telur di Melaka yang bermula sekitar 2007. Beliau menggunakan wang sendiri untuk bisnes itu, bermula dengan 30,000 ekor itik.

"Kerajaan kata banyak tanah terbengkalai, kita usahawan ni rasa bersemangat nak buat projek. Saya beli sedikit tanah di tapak ladang sekarang untuk memulakan projek ini kerana saya merasakan tanah milik kerajaan yang terbiar bersebelahan boleh dimajukan.

"Malangnya campur tangan politik dan tidak ada kerjasama dari kerajaan negeri membuatkan projek yang dirasakan berdaya maju ini mengalami sedikit masalah. Saya masih berharap supaya kerajaan negeri Melaka terutama exco pertaniannya melihat usahawan seperti saya yang boleh berdikari dan perlu dibantu," jelasnya.

Menurut Puziah, ternakan itik memang berpotensi, cuma belanja makannya agak besar. Beliau terpaksa membelanjakan sekitar RM7,000 sehari dan kos meningkat jika harga makanan naik.

Beliau juga membina kilang untuk memproses telur masin di ladang itu.

PELBAGAI USAHA

Untuk menjadikan projek ternakan itik telurnya lebih berdaya maju, Puziah merancang untuk mempelbagaikan usaha termasuk membela ayam kampung dan tanaman pokok pisang.

Bagi tujuan itu, beliau memerlukan kawasan yang lebih besar dan memajukan permohonan untuk mendapatkan tanah bersebelahan ladang itiknya kepada pihak berkuasa tempatan.

"Tanah itu tanah lombong, ada sekitar 10 hektar. Saya sudah bersihkan dan dalam masa yang sama mengemukakan permohonan, cuma yang mengecewakan, permohonan saya ditolak. Kalau saya dapat tanah tersebut, dapatlah projek saya bertahan dan pekerja saya yang lapan orang dapat terus bekerja, " keluh Puziah yang masih menaruh harapan untuk mendapatkan tanah berkenaan secara Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Di samping ternakan itik telur, beliau juga giat mengusahakan ternakan ikan keli di kampung halamannya, Kampung Limau Manis, Desa Pinggiran Putra. Di samping itu, beliau juga membeli ikan berkenaan daripada penternak kontrak.

Puziah berkata pihaknya telah mendapat kontrak membekalkan ikan yang sudah diproses untuk pasaran Indonesia dan Thailand.

"Kilang kami memproses ikan (buang isi perut dan kepala) sebelum menghantarnya ke Pulau Pinang untuk proses seterusnya memandangkan kilang di Pulau Pinang mempunyai sijil HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points), GMP (Amalan Perkilangan Baik) dan Halal.

"Sijil-sijil ini penting untuk pasaran eksport," jelas Puziah, sambil menambah produk ikan kelinya akan dilancarkan pada penghujung Oktober ini.

USAHA DAN AMAL

Di samping mengembangkan bisnesnya, Puziah juga menyimpan hasrat untuk melatih lebih ramai usahawan dalam bidang perniagaan kosmetik.

Bagaimanapun, katanya, rancangan ini memerlukan sokongan kerajaan.

"Untuk program latihan seperti ini, kalau kita minta bayaran daripada peserta, tak ramai yang akan datang. Kita kena buat secara percuma.

"Sasaran saya adalah untuk golongan miskin bandar dan luar bandar. Saya nak cuba bangunkan kemahiran dalam bidang keusahawanan ini dalam kalangan golongan tersebut. Kalau saya boleh bangunkan 200 orang pun sudah memadai," tambahnya.

Di tengah-tengah kejayaan dan kesenangan yang diraihnya, Puziah juga tidak melupakan golongan kurang bernasib baik khususnya anak-anak yatim. Bagi tujuan amal ini, beliau menubuhkan Yayasan Harapan De Bella pada 2000.

Di bawah Yayasan itu, beliau membuka sebuah rumah anak yatim di Kampung Melayu Ampang yang kini mempunyai 10 penghuni tetap. Anak-anak ini diambil dari usia 7 hingga 9 tahun.

Di samping mementingkan pelajaran akademik mereka, Puziah juga menghantar anak-anak itu ke kelas menghafaz Al Quran setelah tamat tingkatan lima.

Pihaknya juga membiayai kira-kira 50 orang anak yatim lain dari segi wang perbelanjaan sekolah, makanan dan pakaian sekolah.

Puziah juga merancang membina sebuah Pusat Tahfiznya sendiri sebagai satu lagi inisiatif amal jariahnya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.