, 21 2009

07 November, 2009 14:16 PM

FSTEP Yakin Dapat Lebih Banyak Penaja

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Program Mengasah Bakat Sektor Kewangan (FSTEP) yakin mendapat lebih banyak penaja dari kalangan institusi kewangan bagi Skim PraPilihannya, yang dilaksanakan buat kali pertama untuk pengambilan kumpulan keempat pesertanya, yang memulakan program itu pada Julai tahun ini.

Ketuanya, Lee Khee Joo, berkata pewujudan skim itu sejajar dengan keperluan industri perkhidmatan kewangan, kerana ia membolehkannya melibatkan diri dalam mengenal pasti calon yang menyertai program latihan.

Lee berkata institusi kewangan juga menyediakan latihan sambil kerja bagi peserta-peserta terpilih yang kemudiannya akan diambil bekerja di institusi-institusi ini.

Beliau berkata sejak ia diwujudkan, FSTEP berjaya mendapatkan 21 penaja dari industri perkhidmatan kewangan bagi 43 daripada 80 peserta dalam pengambilan keempat.

"Bank, termasuk Al-Rajhi Bank dan Kuwait Finance House, menaja 37 daripada mereka manakala firma insurans enam.

"Ini petanda baik kerana lebih 50 peratus daripada mereka mendapat penajaan," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

Beliau berkata FSTEP yakin 37 peserta lain yang kini ditaja oleh FSTEP melalui Dana Latihan kakitangan akan mendapat penajaan masing-masing tidak lama lagi.

Peserta-peserta terpilih bagi program latihan ini menerima elaun RM2,200 sebulan.

Lee berkata memandangkan penajaan daripada syarikat-syarikat insurans masih rendah, baru-baru ini FSTEP menemui peserta industri untuk membincangkan keperluan industri itu.

"FSTEP kerap kali mengemas kini dan mengkaji semula sukatan pelajarannya bagi memastikan latihan memenuhi keperluan industri," tegasnya.

Beliau berkata FSTEP akan juga menemui tokoh-tokoh bank tidak lama lagi untuk membincangkan keperluan mereka.

Lee berkata program itu telah melatih sejumlah 700 peserta dalam empat kumpulan.

"Bagi kumpulan pertama, 35 peratus daripada mereka diserap oleh institusi kewangan manakala selebihnya oleh firma-firma bukan kewangan.

"Bagi pengambilan kedua, 41 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan dengan institusi kewangan," katanya.

Katanya FSTEP merancang untuk mendaftar 120 peserta bagi pengambilan kelima yang bermula pada 19 Feb, 2010.

"Institusi kewangan dijangka menaja 80 peserta," katanya.

FSTEP, katanya, lebih berhati-hati dalam pemilihannya sekarang kerana ia mahu menghasilkan graduan terbaik bagi memenuhi keperluan industri kewangan.

FSTEP, cetusan ilham gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, dilancarkan pada September 2007 bagi mengatasi kekurangan bakat mahir dalam industri perkhidmatan kewangan.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.