

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
06 November, 2009 22:59 PM
TM Yakin Faedah Bekerja Secara Jarak Jauh
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) gembira dengan peningkatan kesedaran terhadap faedah bekerja secara jarak jauh atau telekerja di kalangan rakyat Malaysia dan menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor untuk melaksanakan amalan kerja dari rumah untuk kakitangan Jabatan Kerja Raya.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan TM Datuk Zamzamzairani Mohd Isa yang menyifatkan telekerja sebagai amalan 'mesra alam', berkata dengan telekerja, akan berlaku pengurangan keperluan perjalanan ke tempat kerja yang menyebabkan kurangnya pelepasan karbon.
TM, sebagai Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) utama akan memainkan peranannya untuk menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada syarikat-syarikat yang ingin menggunapakai ICT sebagai teknologi hijau bagi menangani perubahan iklim, katanya dalam satu kenyataan di sini hari Jumaat.
Zamzamzairani berkata TM mempunyai kemampuan dan infrastruktur yang sewajarnya untuk menyediakan sokongan kepada syarikat-syarikat yang merancang untuk melaksanakan telekerja di kalangan tenaga kerjanya.
"Kami ada menawarkan penyelesaian untuk mengoperasikan pejabat dari rumah dan perkhidmatan komunikasi kami pada dasarnya membantu enterpris melaksanakan amalan-amalan yang lebih mesra alam dan kos efektif, justeru membantu mengurangkan kesan alam sekitar yang terhasil," katanya.
TM sendiri telah mengambil pelbagai langkah untuk menggunapakai ICT sebagai teknologi hijau dengan melaksanakan amalan telekerja di kalangan pekerjanya.
TM telah mula melaksanakan telekerja yang melibatkan 140 orang anggota daripada Bahagian Jualan Korporat pada awal tahun ini.
TM kini mempertimbang untuk melaksanakan telekerja untuk anggotanya daripada segmen Enterpris. TM juga mengamalkan mesyuarat jarak jauh menerusi tele-persidangan dan 'live streaming' di antara pejabat-pejabat negerinya di seluruh negara.
Ia berkata perkhidmatan Jalur lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) apabila dilancarkan pada tahun hadapan, juga akan menjadikan telekerja satu pilihan realistik kerana pemindahan data boleh dilakukan secara berkesan.
Selain itu, HSBB akan membolehkan pengguna menggunakan aplikasi interaktif masa-nyata seperti sidang video untuk perbincangan tanpa memerlukan kehadiran mereka di lokasi yang sebenar.
Ini pastinya akan menggembirakan mereka yang prihatin dengan kenaikan harga petrol dan prihatin kepada alam sekitar, kata TM.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

