

Berita Pilihan Tertinggi
Berita-berita Lain
03 November, 2009 21:42 PM
Bina Puri Peroleh Kontrak Bernilai RM19.7 Juta Di Sabah
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Bina Puri Construction Sdn Bhd telah memperolehi projek baru di Mabpai, Kota Kinabalu, Sabah dengan kontrak bernilai RM19.7 juta.
Projek itu ialah untuk pembinaan dan penyudahan cadangan satu blok apartmen tujuh tingkat (30 unit) merangkap kemudahan rumah kelab dan kerja infastruktur berkaitan.
Anak syarikat milik penuh Bina Puri Holdings Bhd, telah menerima surat anugerah daripada Arkitek Oma Sdn Bhd untuk projek fasa satu Taman Tiara - di Jln Sukang, Mabpai, di mana pembinaan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
Dalam satu kenyataan, Bina Puri Holdings berkata perolehan kontrak semasa kumpulan ialah RM2.39 bilion memandangkan ia telah berjaya mendapatkan projek baru dengan nilai sehingga RM1.41 bilion pada 2009 dan terus membida projek baru di dalam dan luar negara.
Ia berkata kontrak yang diterima itu telah mengukuhkan lagi kehadiran Bina Puri di Sabah/Sarawak kerana seawal Oktober 2009, kumpulan telah memperolehi projek pembinaan 24 unit rumah kedai dua hingga tingkat di Alamesra, Kuala Menggatal, Sabah dengan kontrak bernilai RM10.995 juta.
Pada September, syarikat memperoleh kontrak pembinaan kerja substruktur untuk sebahagian daripada pembangunan Kota Kinabalu City Waterfront (KKCW), usaha sama antara DBKK Holdings Sdn Bhd dan Sunsea Development Sdn Bhd dengan nilai kontrak RM36.76 juta.
Sejak pengembangannya ke Sabah pada 15 Julai, 1994, kumpulan telah berjaya menyiapkan projek bernilai kira-kira RM1.5 bilion di sana.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

