, 22 2009

03 November, 2009 20:58 PM

Maybank Terbuka Untuk Bekerjasama Dengan Bank Turki

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) sedia bekerjasama dengan bank di Turki tetapi tidak berminat membeli sebarang kepentingan, kata ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Selasa.

"Kami terbuka bagi kerjasama dari segi pembiayaan perdagangan dan produk. Kerjasama tidak semestinya dalam bentuk ekuiti," katanya.

"Buat masa ini kami tidak berhasrat untuk mempertimbang pelaburan ekuiti di Turki," katanya kepada pemberita pada masa sampingan Forum Tahunan Kewangan Islam Kuala Lumpur Keenam di sini.

Semalam Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata bank terkemuka di Turki, Bank Asya, berminat untuk memanfaatkan kepakaran Maybank dan CIMB Bank Bhd untuk bersama mengadakan operasi perbankan Islam di Turki.

Beliau berkata wakil Bank Asya telah menyuarakan minat bank itu pada satu pertemuan perniagaan dengan Kementerian Kewangan semasa berlangsungnya Persidangan Bank Dunia/Tabung Kewangan Antarabangsa di Istanbul baru-baru ini.

Abdul Wahid berkata tumpuan kumpulan itu masih kePada Asia Tenggara dan sedikit sebanyak Asia Selatan.

"Kami akan berhubung dengan pejabat menteri (Kementerian Kewangan) untuk mengetahui lebih banyak dan ini sebenarnya memberi peluang kepada kami untuk berbincang dengan menteri," katanya.

Abdul Wahid yang menyifatkan Turki sebagai "negara yang menarik", berada di Istanbul bulan lepas bagi menghadiri mesyuarat IMF.

"Saya berpendapat Turki negara menarik. Ia ekonomi besar. Saiz ekonomi Turki adalah kira-kira AS750 juta, iaitu kira-kira separuh saiz ekonomi Asean yang bernilai AS$1.5 bilion," katanya.

"Kami melihat ini dari perspektif perdagangan dan bagaimana kami boleh membantu syarikat Malaysia melabur dan berniaga lebih banyak dengan entiti Turki," jelas Abdul Wahid.

"Jelasnya, kami tidak bercadang untuk memperluas operasi di Turki, tetapi lebih kepada menggalakkan perdagangan antara syarikat perniagaan," katanya.

Ditanya sama ada Maybank bercadang membiayai beberapa projek Turki, Abdul Wahid berkata: "Tidak. Ini lebih kepada melihat peluang pembiayaan perdagangan bagi syarikat Malaysia menjalankan perniagaan dengan rakan niaga mereka di Turki. Jadi ia dalam konteks itu."

Di samping pembiayaan perdagangan, bank itu juga berminat terhadap kerjasama dalam kewangan Islam di negara itu, katanya.

Menyentuh tentang laporan bahawa bank-bank sedang membuat persiapan untuk beransur-ansur menaikkan kadar asas berian pinjaman bagi pinjaman jangka panjang masing-masing, Abdul Wahid berkata setiap bank melihat kepada keperluan masing-masing.

Dilaporkan bahawa satu daripada segmen pinjaman pertama yang menerima kesannya ialah gadai janji.

"Kami membuat pelarasan berdasarkan persaingan. Jadi, jika kami dapat bilangan gadai janji yang mencukupi pada harga yang lebih tinggi sedikit, tentulah itu sesuatu yang akan kami teliti," tegasnya.

Abdul Wahid berkata oleh kerana Maybank boleh mendapatkan lebih banyak pinjaman, pertumbuhan yang baik dan mencapai tahap optimal, ia akan melaraskan harga sewajarnya.

"Bermakna akan ada kes di mana kami menaikkan gadai janji sedikit dan kami turunkan pinjaman SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana) misalnya, atau pinjaman korporat kami dan sebagainya," kata beliau.

Abdul Wahid berkata dalam tahun kewangan semasa, bank itu menyaksikan peningkatan prestasi pinjaman perumahan sebanyak tujuh peratus berbanding penyusutan tahun lepas.

Dari segi harga gadai janji, Malaysia masih merupakan satu daripada negara-negara yang paling rendah gadai janjinya, kata Abdul Wahid.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.