Bernama.com
Am 19 Mei, 2008 16:57 PM
 
Keluar Parti Bukan Jalan Penyelesaian


KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Keputusan mengejut bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno hari ini menerima pelbagai reaksi, yang antara lain berpendapat ia tidak akan menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan itu, selain tidak menyelesaikan masalah dalam Umno, sebaliknya hanya akan memberikan kelebihan kepada pihak pembangkang.

Beliau berkata sepatutnya sekarang adalah masa untuk semua pihak termasuk pemimpin serta bekas pemimpin parti bekerjasama bagi memulihkan Umno untuk kembali kuat dan kukuh.

"Masalah ini adalah masalah keluarga dan perlu diselesaikan dalam cara dan semangat kekeluargaan. Tindakan melulu keluar parti hanya akan merosakkan dan memberi kekuatan pada pihak lain," katanya dalam satu kenyataan hari Isnin.

Dr Mahathir mengumumkan keputusannya keluar Umno pada satu majlis di Alor Star atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

Di KANGAR, Badan Perhubungan Umno Perlis meminta Dr Mahathir supaya menimbang semula keputusannya.

Ketua Penerangan Datuk Hashim Suboh berkata jika ada kelemahan dan kesilapan ia adalah masalah kepimpinan dan bukannya "salah atau dosa" Umno kerana menurutnya Dr Mahathir telah membina parti itu menjadi sebuah parti yang berkesan dalam memimpin kerajaan dan negara.

"Rakyat dan akar umbi telah memberikan mesej yang jelas kepada kepimpinan parti dan kerajaan dan gerakan untuk membetulkan parti telah bermula dan makin berkembang.

"Tun (Dr Mahathir) tidak sepatutnya lari daripada perjuangan yang tidak kurang besarnya iaitu untuk memulih dan memperkuatkan semula Umno dengan memimpin segala arus bukan meninggalkan terus sungai perjuangan Umno yang panjang dan berliku ini," kata Hashim, yang juga Timbalan Ketua Umno Kangar.

Jika isunya adalah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, biarlah proses dalam parti berjalan dan menentukan, katanya.

Di SHAH ALAM, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini terkejut dengan tindakan Dr Mahathir, lebih-lebih lagi beliau turut mengajak anggota Umno yang tidak berpuashati dengan kepimpinan parti sekarang mengikut jejaknya.

"Adalah tidak adil juga apabila beliau turut mengajak beberapa lagi anggota Umno keluar parti itu kerana ia akan membawa kesan buruk dan tindakan itu tidak masuk akal," katanya ketika dihubungi di sini.

Berhubung kenyataan Dr Mahathir yang hanya akan kembali kepada Umno sekiranya Abdullah meletak jawatan, Muhammad berkata ia bukan budaya parti dan perkara itu sepatutnya diserahkan kepada anggota Umno di semua peringkat untuk membuat keputusan.

"Tak pernah ada desakan seperti ini sebelum ini atau dari luar apatah lagi daripada seorang bekas pemimpin tertinggi negara. Lebih baik kukuhkan parti daripada lemahkan parti," kata Muhammad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menganggapnya sebagai keputusan yang belum muktamad selagi surat tidak diserahkan.

"Pimpinan tertinggi perlu melihat perkara ini bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Suka atau tidak Umno akan menghadapi masalah terutamanya di kalangan orang muda yang membesar di zaman Tun Mahathir," katanya.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata Dr Mahathir sepatutnya memikirkan kesan tindakannya kerana bimbang ia akan menyebabkan anggota parti semakin hilang kepercayaan pada perjuangan parti.

Mengenai keperluan untuk memujuk bekas perdana menteri itu menarik balik tindakannya, beliau berkata: "Perlu atau tidak kena tengok pada punca dan kesannya."

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, pula enggan mengulas tindakan Dr Mahathir tetapi mengakui terkejut dengan berita itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar juga enggan mengulas kerana masih belum membaca berita mengenai pengunduran Tun Mahathir itu.

"Saya tidak boleh cakap lagi, saya kena baca dulu," katanya.

Di KOTA KINABALU, Setiausaha Perhubungan Umno Sabah Datuk Yahya Hussin berkata beliau menghormati keputusan Dr Mahathir kerana itu adalah hak beliau.

Yahya, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, mengakui keputusan itu sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada Umno dan perpaduan Melayu.

"Bagaimanapun ia tidak akan sampai menggugat perpaduan Melayu dan melemahkan Umno. Orang Melayu kini pun ramai yang menyertai PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi saya yakin Umno akan tetap kukuh," katanya.

Di JOHOR BAHARU, Ketua Pemuda Bahagian Tebrau, Nordin Omar berkata tindakan Dr Mahathir itu hanya akan merumitkan lagi masalah yang ada dalam parti dan tidak akan mengembalikan kepercayaan orang Melayu malah akan menyebabkan berlakunya krisis kepimpinan.

"Keluarnya Tun Mahathir akan lebih merumitkan keadaan. Saya sendiri telah menerima beberapa pesanan ringkas bertanyakan sama ada akan berhenti juga," kata Nordin sambil membayangkan kekhuatirannya bahawa ramai anggota parti itu akan mengikut jejak bekas presiden Umno itu.

Ketua Umno Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang pula sedih dengan keputusan Tun Mahathir itu dan meminta beliau menimbangkannya semula.

Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad berkata tindakan Dr Mahathir itu adalah bertentangan dengan apa yang beliau kata dulu iaitu "kita kena sayang parti bukan sebab pemimpin, tapi sebab parti."

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berharap Dr Mahathir menarik balik hasratnya untuk keluar daripada parti demi perpaduan bangsa dan Umno sendiri.

Katanya Dr Mahathir banyak berjasa kepada Puteri kerana pergerakan itu lahir semasa beliau masih menjadi Presiden parti.

Bagi anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, walaupun keputusan Dr Mahathir merupakan satu kehilangan kepada parti, tetapi anggota Umno perlu terus kekal dalam parti "kerana kehadiran kita dalam Umno pun bukan kerana mana-mana pemimpin, bukan kerana Tun (Mahathir) dan bukan kerana Pak Lah."

Menteri Pengajian Tinggi itu berkata Umno kini memerlukan kekuatan untuk berhadapan dengan musuh utama khususnya parti pembangkang dan tindakan Dr Mahathir itu tidak patut dijadikan asas kepada anggota Umno yang lain untuk keluar parti.

Di PULAU PINANG, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata keputusan keluar parti adalah hak Dr Mahathir, dan Umno sebelum ini pernah mengalami keadaan sama.

"Semasa pengasas Umno Datuk Onn Jaafar meninggalkan parti semasa menjadi presiden parti itu, Umno tidak pula hancur, malahan menjadi sebuah parti yang semakin kuat," katanya.

Di IPOH, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Ramly Zahari berkata Dr Mahathir perlu membatalkan keputusannya dan berpendapat kepimpinan sekarang perlu memujuk beliau menarik balik keputusan itu.

"Jika usaha memujuk gagal maka setiap anggota parti perlu menghormati keputusan itu walaupun ia satu kerugian yang amat besar kepada parti," kata Ramly yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar.

Di MELAKA, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang terperanjat dengan keputusan bekas presiden Umno itu, berharap Dr Mahathir menarik balik tindakannya kerana parti itu masih memerlukan sumbangannya.

Ketua Menteri Melaka itu berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan Biro Politik dan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang menasihati anggota Umno supaya bertenang dan bersikap rasional berkata mereka perlu menggunakan kebijaksanaan mereka bagi memastikan parti itu berada dalam keadaan stabil dan tidak porak-peranda berikutan tindakan Dr Mahathir itu.

"Umno akan mengadakan pemilihan (perhimpunan agung) pada Disember ini, di sini terdapat peluang bagi anggota Umno untuk membuat keputusan yang bijaksana sama ada untuk mengekalkan kepimpinan sedia ada atau memilih kepimpinan baru," katanya.

Abdul Rahim menyifatkan tindakan Dr Mahathir sebagai satu perkembangan tragis dalam sejarah Umno dan berkata: "Mungkin ini satu tindakan taktikal untuk mengenakan lebih tekanan kepada Abdullah untuk meletak jawatan."

Bagi veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata Dr Mahathir "suka membuat kejutan tetapi dengan tindakannya keluar menyebabkan beliau tidak lagi berpeluang memberi komen terhadap Umno kerana beliau bukan lagi anggota parti."

"Dan ia tindakan yang tidak betul hanya kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan Perdana Menteri," katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata mereka menghormati keputusan yang diambil oleh Dr Mahathir dan beliau perlu sedar kejayaannya mentadbir negara serta memimpin parti dahulu adalah hasil sokongan padu semua pemimpin dan anggota Umno.

Katanya Dr Mahathir sepatutnya menggunakan pengalaman yang ada untuk memperkukuhkan semula parti dan bukannya bertindak keluar daripada Umno bagi membuktikan bahawa Umno masih mampu bersatu.

"Kita semua bekerja keras dan beri sokongan yang tidak berbelah bagi kepada beliau semasa memerintah. Tetapi sekarang, kita menghadapi cabaran semasa, jadi lebih sesuai kita selesaikan masalah secara muafakat.

"Kita perketatkan mana yang longgar untuk terus ke depan, tetapi jika mahu bawa lari (anggota) daripada pasukan Umno... tak boleh beri kekuatanlah," katanya.

Di ALOR STAR, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan Dr Mahathir bagaikan "marahkan nyamuk, kelambu dibakar".

"Tindakan Tun membawa perpecahan dan Melayu akan menjadi cebisan-cebisan lebih kecil... kini orang Melayu telah berpecah dalam PAS, Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan kini ditambah pula dengan tindakan Tun yang boleh membawa perpecahan dalam Umno," katanya.

Bagi Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al Habshee berharap Abdullah akan segera mengetuai rombongan Majlis Tertinggi Umno mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan Dr Mahathir bagi memujuk beliau menarik balik keputusannya itu.

"Ini penting kerana Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada parti, negara dan bangsa Melayu dan masih merupakan pemimpin yang kuat pengaruhnya di dalam Umno," katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan Dr Mahathir bahawa beliau hanya akan kembali kepada Umno selepas Abdullah meletak jawatan sebagai satu pendirian tidak bertanggungjawab.

Pendirian itu tidak akan menguntungkan Umno sebaliknya membuka ruang kepada parti lawan yang sering mengintai peluang untuk memecahbelahkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional, katanya dalam satu kenyataan.

"Saya percaya Pemuda Umno akan sentiasa rasional dan arahan saya kepada mereka supaya sentiasa berada dalam barisan yang kukuh sehingga arahan selanjutnya kerana Umno lebih besar dan seharusnya diletak lebih tinggi daripada dua individu berkenaan," katanya.

Hishammuddin mengingatkan anggota Umno bahawa cadangan meletak jawatan hanya akan menguntungkan pihak lawan dan tidak membawa sebarang manfaat kepada Umno terutama dalam usaha membina semula parti dan menyuntik semangat di kalangan anggota serta mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat.

Beliau berharap supaya setiap anggota Pemuda Umno tidak mengambil tindakan terburu-buru kerana selama ini mereka dididik untuk mengutamakan kepentingan parti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan tindakan Dr Mahathir keluar Umno sebagai satu tindakan tidak bijak dan mengejutkan.

"Ia juga merupakan tindakan yang tidak membantu usaha-usaha ke arah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti," katanya dalam satu kenyataan.

Sambil meminta anggota Umno bertenang dan sentiasa mengutamakan kepentingan parti daripada individu serta berusaha menangani masalah yang dihadapi, beliau berkata anggota Umno hendaklah berusaha mengelakkan daripada berlakunya suasana yang tidak sihat yang boleh menggugat keselamatan negara.

Di KANGAR, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Badan Perhubungan Umno Perlis akan bertemu Dr Mahathir di Kuala Lumpur esok bagi memujuknya supaya menimbang semula keputusan untuk meninggalkan Umno.

Bekas Menteri Besar Perlis percaya tindakan Mahathir meninggalkan Umno serta merta turut dipengaruhi oleh pihak tertentu yang sengaja ingin melihat kerenggangan hubungannya dengan Abdullah.

"Mereka pasti gembira melihat kerosakan dalam Umno dah seronok dengan keputusan Tun Dr Mahathir," kata Shahidan tanpa menamakan pihak yang disifatkan gembira dengan keputusan itu.

-- BERNAMA












Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels