|
|
Pertubuhan
Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, sebuah badan berkanun,
ditubuhkan dibawah Akta Parlimen 1967 dan mula beroperasi pada Mei 1968.
Sebuah
Majlis
Penyeliaan
terdiri daripada lima anggota yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong diwujudkan untuk mengawasi supaya BERNAMA
berpandukan kepada peruntukan-peruntukan Akta dalam melaksanakan
objektif-objektifnya.
BERNAMA dikelolakan oleh sebuah
Lembaga
Pengelola
yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Anggota-anggota Lembaga mengandungi seorang Pengerusi, enam wakil
Kerajaan Persekutuan dan enam wakil akhbar yang melanggan dengan BERNAMA.
Mereka mempunyai anggota gilir masing-masing yang juga dilantik oleh
Seri Paduka Baginda.
Pengurusan BERNAMA diketuai seorang Pengurus Besar yang dibantu oleh
sebuah
Jawatankuasa Pengurusan
dalam melaksanakan sebuah program dan aktiviti agensi serta
keputusan-keputusan Lembaga Pengelola.
BERNAMA mempunyai pejabat-pejabatnya di semua negeri di negara ini dan
perwakilannya di Singapura dan Jakarta dan retainer di Washington,
London. Manila, New Delhi, Dhaka, Melbourne dan Vancouver.
Seluruh operasi BERNAMA menggunakan komputer dan ia memberikan
perkhidmatan berita am dan ekonomi dan perkhidmatan layar maklumat
kewangan tepat masa kepada pelanggan-pelanggannya di Malaysia dan
Singapura.
Peranan BERNAMA sebagai sumber berita yang terkini dan boleh dipercayai
amat dikenali dikalangan media tempatan dan asing, agensi-agensi
kerajaan, swasta, universiti dan individu di negara ini.
Kebanyakkan akhbar dan media elektronik di Malaysia dan agensi-agensi
berita asing adalah pelanggan-pelanggan BERNAMA. BERNAMA beroperasi
dalam industri maklumat yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga
berpotensi besar untuk berkembang.
Sebelum ini berita-berita dan maklumat yang dikeluarkan oleh BERNAMA
hanya dalam bentuk teks dan gambar tetapi dengan wujudnya unit
audio-visual atau dikenali sebagai BERNAMA TV pada September 1998, ia
kini boleh diperolehi juga dalam bentuk visual.
BERNAMA sentiasa menjalankan penyelidikan bertujuan untuk meningkatkan
kualiti produk dan perkhidmatan-perkhidmatannya yang antara lain
termasuk Perkhidmatan Maklumat Kewangan Tepat-Masa, berita tepat-masa,
perkhidmatan perpustakaan (pangkalan data). penghantaran siaran akhbar/maklumat
secara global dan pengurusan acara, foto dan audio visual.
Internet telah membuka peluang baru bagi BERNAMA menyalurkan
perkhidmatan berita dan maklumatnya secara terus kepada orang ramai. Ini
dilakukan melalui laman webnya sendiri ataupun laman-laman web yang
lain.
Bagi mencapai kejayaan jangka panjang yang berterusan, pelaburan yang
berterusan dan kemajuan perniagaan adalah antara perkara yang amat
penting kepada BERNAMA.
|
|